JERTIH: Seramai 724 petani, penternak dan pengusaha ikan sangkar di Terengganu yang terjejas akibat banjir pada Disember tahun lepas menerima Bantuan Bencana Pertanian 2023 bernilai keseluruhan hampir RM900,000 hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata bantuan di bawah Tabung Bantuan Bencana Pertanian kerajaan negeri itu dikreditkan secara terus ke dalam akaun penerima.

"Jumlah keseluruhan kerugian dalam sektor pertanian ialah RM19.1 juta dengan sektor perikanan merekodkan kerugian tertinggi iaitu RM13.9 juta diikuti ternakan (RM3.1 juta) dan pertanian RM2.1 juta.

"Bantuan diberi mengikut penilaian semasa berdasarkan kerugian yang dialami pemohon," katanya selepas Majlis Gimik Penyampaian Bantuan Bencana Pertanian 2023 peringkat daerah Besut di Dewan Sivik Jabi di sini, pada Isnin.

Beliau berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas RM1 juta pada tahun ini untuk membantu meringkan beban petani yang terjejas, selain bantuan daripada kerajaan persekutuan.

Menurut Azman, daerah Besut mencatatkan penerima bantuan paling ramai iaitu 294 orang, diikuti Setiu seramai 100 orang, Dungun (98), Kuala Terengganu (90), Hulu Terengganu (71), Marang (29), Kuala Nerus (22) dan Kemaman (20).

Beliau berkata bantuan itu diharap dapat membantu meringankan beban kerugian yang dialami golongan berkenaan.

Sementara itu Azman berkata bekalan makanan berasaskan pertanian di negeri ini mencukupi bagi menampung permintaan orang ramai sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

"Agensi berkaitan akan memastikan makanan yang menjadi keperluan umat Islam seperti daging, ikan dan ayam mencukupi untuk menampung permintaan pada Aidilfitri nanti," katanya.

-- BERNAMA