TUMPAT: Sepasang suami isteri warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan rokok bernilai RM648,738, termasuk cukai, selepas sebuah lori ditahan di Kampung Belimbing, Tanah Merah pada 12 Jan lepas.

Pengarah Jabatan Kastam Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata rampasan itu melibatkan 539,400 batang rokok buatan China yang dipercayai diseludup dari negara jiran untuk memenuhi keperluan pekerja warga China di Lembah Klang.

"Nilai rokok yang dirampas dianggarkan RM102,486, manakala cukainya bernilai RM366,252.60. Sebuah lori Hino bernilai RM180,000 turut dirampas," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 34 tahun berasal dari Lembah Klang dipercayai datang ke Kelantan untuk mendapatkan bekalan rokok yang diseludup masuk melalui sempadan negara jiran.

Menurut Wan Jamal, siasatan awal mendapati pasangan itu mengaku menerima upah sebanyak RM600 untuk setiap perjalanan menghantar rokok seludup itu ke Lembah Klang.

"Kedua-dua suspek kini direman selama 10 hari bermula dari 13 Jan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Wan Jamal turut menyeru orang awam untuk bekerjasama dengan pihak kastam dan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.

-- BERNAMA