KOTA TINGGI: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Ara Sedili, di sini, pada tengah hari tadi.

Komander operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 1.23 tengah hari.

Katanya, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Satria yang dinaiki tiga orang lelaki dewasa.

Mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto JBPM

"Kenderaan terbabit dipercayai telah terbabas sendiri ke ladang sawit, bersebelahan jalan raya.

"Terdapat dua orang mangsa lelaki dewasa cedera parah, manakala seorang lagi mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Dua lagi yang cedera telah dihantar ke hospital dengan menaiki ambulan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Operasi disertai oleh seramai lima orang anggota daripada BBP Kota Tinggi. - Foto JBPM

Menurutnya, operasi disertai oleh seramai lima orang anggota daripada BBP Kota Tinggi, bersama dua buah jentera bagi memperkasa urusan menyelamat.

Operasi ditamatkan pada jam 2.50 petang, setelah keadaan sekitar dipastikan selamat oleh petugas-petugas di lokasi.