Sentimen anti-Islam dicanang oleh kepimpinan tertinggi barat khasnya di Amerika Syarikat (AS) dengan mempromosi tindakan perundangan yang menyemai kebencian terhadap agama Islam dan penganutnya.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, retorik politik dari kalangan pimpinan tertinggi dunia barat membawa kesan dan impak yang berupa suatu rupa bentuk pengesahan kebencian yang mendorong kepada tindakan keganasan.

Jelasnya, sejak kebelakangan ini, di Amerika Syarikat, di antara tahun 2016 sehingga 2017 kadar jenayah kebencian juga meningkat sebanyak 17 peratus.

"Serangan-serangan yang berlaku ini bermula dari Amerika Syarikat dan akhirnya merebak ke negara yang mempunyai kadar jenayah antara yang terendah di dunia, iaitu New Zealand.

"Kekerasan dan keganasan yang lahir daripada ekstremisme dan kebencian ini menyebabkan berlakunya tragedi kemanusian di Christchurch yang mengorbakan 50 nyawa," katanya semasa menyampaikan cadangan usul mengutuk serangan Christchurch di sidang Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Jelas Anwar, dalam membahaskan tragedi Christchruch, fahaman ekstremisme dan ketuanan bangsa tidak terbatas kepada orang-orang kulit putih semata-mata.

"Fahaman perkauman melampau ini boleh menular kepada bangsa lain tidak terkecuali Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan.

"Kita meraikan perbedaan pendapat dan pandangan politik, namun dengan tegas saya menolak pendekatan menggunakan keganasan dan kekerasan," ujarnya.

Pada Sabtu, Brenton Tarrant, 28 tahun, didakwa di mahkamah susulan kejadian serangan di dua masjid di Christchurch ketika waktu solat Jumaat.

Tarrant, yang menurut media tempatan boleh dinamakan tetapi tidak boleh ditunjukkan mukanya, telah ditahan reman tanpa membuat sebarang pengakuan, sehingga 5 April.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush berkata, angka kematian serangan pengganas masjid di Christchurch meningkat kepada 50 orang.