KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengesa pihak polis untuk menyiasat kandungan filem 'Mentega Terbang' yang didakwa mempunyai kandungan berunsur hasutan.

Menurut Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah, pihaknya telah membuat laporan polis untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan 1948.

"Dalam laporan polis, saya ingin pihak polis untuk menyiasat isu ini di bawah Akta Hasutan 1948, sebab ada (perkara) yang menghasut dalam filem itu.

"Banyak klip tersebar memang ada hasutan di dalam itu, jadi wajib disiasat di bawah Akta Hasutan.

"Akta Hasutan ini sesyennya banyak dan hukumannya juga agak berat. Jadi kita gesa polis siasatan di bawah Akta Hasutan 1948," katanya semasa ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Jumaat.

BACA: Filem 'Mentega Terbang' jelas bertentangan dengan akidah Islam - Mohd Na'im

Ujarnya, tindakan itu diambil selepas Seniman mendapat pelbagai aduan dari kalangan masyarakat serta badan bukan kerajaan (NGO).

"Kita mendapat pelbagai aduan dari kalangan masyarakat serta NGO mengenai filem berkenaan yang menyentuh isu sensitiviti agama Islam.

"Walaupun kita tengok benda ni macam tidak ada apa-apa tetapi ia serius, aduan yang kita terima juga bukan dari kalangan ahli.

"Mereka tanya adakah Seniman tidak buat apa-apa?  Aduan ini juga datang dari pemimpin NGO yang mahu kita pertahankan agama Islam," katanya.



Sementara itu, Hafiz menjelaskan, pihaknya akan mengutus surat kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berhubung perkara itu.

"Saya akan hantar laporan ini secara peribadi kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri. Sekarang ia di bawah bidang kuasa polis, jadi kita mahu kementerian berkenaan melihat isu ini secara serius kerana Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan polis juga di bawah KDN.

"Kita ambil pandangan daripada timbalan menteri dahulu, tengok apa dia cakap. Surat ini juga akan dihantar kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil," katanya.

Mengulas mengenai platform penstriman Viu yang menayangkan filem terbabit, Hafi menjelaskan, tiada laporan polis dibuat terhadap syarikat itu.

Sebaliknya, Seniman akan menulis surat kepada Viu agar lebih berhati-hati dalam menyiarkan kandungan terutama mengaitkan agama.

Sebelum ini, filem indie tempatan yang ditayangkan menerusi platform penstriman video Viu itu mengundang kecaman dan kegusaran orang awam berikutan beberapa babak yang didakwa bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.