KUALA LUMPUR : Penghasilan seni tekstil Melayu pada zaman dahulu sudah cukup untuk membuktikan sikap masyarakat itu yang sememangnya telah banyak berusaha keras dalam menghasilkan seni tersebut.

Menurut Pengumpul Tekstil dan Kurator, John Ang, keadaan itu juga secara tidak langsung menyangkal dakwaan orang Inggeris yang menyifatkan orang Melayu sebagai bersikap ‘pemalas’.

“Apabila kita lihat pada penghasilan tekstil Melayu, terlalu banyak usaha keras yang diletakkan untuk menghasilkan karya itu dan ini juga bukti bahawa kaum Melayu sangat rajin.

“Dulu orang Inggeris dakwa kaum Melayu malas tetapi perkara sebaliknya telah dibuktikan kerana mereka (kaum Melayu) perlu fokus untuk hasilkan tekstil itu kerana jika tidak ia tidak akan berjaya dihasilkan.

"Ia bukan perkara mudah,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sewaktu pameran ‘Splendours Of Malay World Textiles’ yang berlangsung di Menara Ken, Taman Tun Dr Ismail yang bermula sejak 24 Julai sehingga 30 Oktober.



Hari Kebangsaan 2022 | Tekstil Melayu bukti kerajinan Melayu


Pameran itu antara lain sebagai usaha untuk mendalami budaya masyarakat Melayu yang dianggap semakin pudar berikutan peredaran zaman.

Selain itu, John turut berpendapat, pendidikan di negara ini masih kurang mendedahkan ilmu budaya khususnya terhadap generasi muda.

“Kesedaran mengenai budaya semakin hilang terutamanya melihat kepada peredaran zaman. Dan ketika ini, semuanya bergantung kepada digital.

"Dan sistem pendidikan kurang menumpukan didikan terhadap generasi muda berkaitan budaya termasuk budaya di seluruh dunia,” katanya lagi. 


Hari Kebangsaan 2022 | Pertingkat ilmu budaya dalam pendidikan