Sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara kini dibenarkan pulang ke tanah air.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan malam ini berkata kesemua mereka berlepas dari Pyongyang pada pukul 7.45 malam ini waktu Malaysia dan dijangka tiba di tanah air pada jam 5 pagi esok.

"Saya berterima kasih kepada pegawai kerajaan yang terbabit dengan perundingan itu, diketuai Kementerian Luar," kata Datuk Seri Najib.

Datuk Seri Najib berkata keselamatan warga Malaysia di sana sentiasa menjadi keutamaan demi mencapai kejayaan dalam perundingan.

"Banyak halangan dapat diatasi bagi memastikan kepulangan rakyat Malaysia. Keselamatan warganegara kita sentiasa menjadi keutamaan saya," kata beliau.

Susulan itu, katanya, Malaysia kini membenarkan rakyat Korea Utara meninggalkan negara ini.

"Selain daripada itu, selepas bedah siasat selesai dijalankan terhadap mangsa dan menerima surat daripada keluarganya yang memohon supaya mayatnya dibawa kembali ke Korea Utara, koroner telah memberi kebenaran untuk melepaskan mayat itu," kata beliau.

Datuk Seri Najib berkata siasatan polis terhadap jenayah berat di Malaysia akan diteruskan dan langkah sewajarnya diambil bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Tambahnya, sebagai perdana menteri, beliau bersyukur melihat semua rakyat Malaysia bersatu dalam menangani krisis itu.

Hubungan Malaysia dan Korea Utara tegang susulan pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin negara itu Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lepas.

Pergeseran diplomatik timbul apabila Duta Korea Utara Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia mengenai cara ia mengendalikan kes itu, yang mengakibatkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai persona non grata.

Beliau meninggalkan Kuala Lumpur pada 6 Mac.

Korea Utara bertindak balas dengan mengusir Duta Malaysia di Pyongyang.

Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.