AYER KEROH: Sembilan individu termasuk sepasang kekasih direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung insiden gaduh gempar yang menyebabkan kematian seorang pengurus sebuah syarikat, pagi semalam.

Perintah tahanan reman sehingga 16 Mei terhadap semua suspek berusia antara 20 hingga 38 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Penahanan berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Astro AWANI terdahulu melaporkan pertengkaran mulut sekumpulan lelaki selepas tidak berpuas hati dengan kata-kata lucah yang dikeluarkan, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut ditikam dalam kejadian di Taman Kenanga,  Melaka awal pagi Selasa.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa seorang pengurus syarikat di Bukit Rambai berusia 35 tahun maut selepas dipercayai ditikam di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata siasatan awal mendapati insiden tercetus ketika mangsa yang dipercayai mabuk selepas berhibur pergi ke gerai berhampiran lokasi kejadian untuk makan dan minum bersama rakan-rakannya.

Katanya, kekecohan itu dipercayai bermula apabila mangsa berbual dengan rakan-rakan mengenai saiz payudara seorang wanita berusia 26 tahun yang berada di gerai tersebut.

Perbualan itu kemudian didengari pengawal peribadi dan teman lelaki wanita berkenaan yang menegur mangsa sebelum keadaan menjadi tegang dan berlaku tolak-menolak, tumbuk-menumbuk serta tikaman ke atas mangsa.