Semak segera peruntukan PBT jika tak ambil 30 peratus wanita - TPM

Andy Reza
Ogos 25, 2018 13:31 MYT
Wan Azizah (empat dari kanan) ketika mengadakan lawatan di tapak Floria Diraja 2018, Putrajaya pada Sabtu. - Astro AWANI/Andy Reza
Semakan semula peruntukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang gagal melantik 30 peratus wanita sebagai ahli majlis, wajar dilakukan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail percaya, kaum hawa berkebolehan dan berperanan penting dalam pembuatan dasar, yang melibatkan kepentingan rakyat merentasi demografi, terutamanya gender.
“Wanita berkebolehan, tapi kita kena tengok kelayakan juga, sebab ia penting,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di tapak Floria Diraja 2018, Putrajaya.
Cadangan semakan semula peruntukan PBT itu diumumkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, semalam.
Walau bagaimanapun menuutnya, perkara itu masih dalam penelitian, sebelum dijangka dilaksanakan dua tahun lagi.
Setakat ini, purata penglibatan wanita sebagai ahli majlis PBT di seluruh negara, hanya 14 peratus.
Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyifatkan tiada keperluan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan peraturan agar parti bertanding meletakkan 30 peratus calon wanita.
"Parti yang bertanding perlu diberi kelonggaran untuk memilih dan meletakkan calon pilihan masing-masing," ujarnya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, 251 wanita dicalonkan untuk bertanding sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada jumlah keseluruhan 2,333 calon.
#gender #pbt #pihak berkuasa tempatan #pilhanraya #Suruhanjaya Pilihanraya #Wan Azizah Wan Ismail
;