Selepas banglo ibu Jho Low dirampas, akaun ayahnya pula dibekukan - Laporan

Firdaus Azil
Mac 29, 2019 12:12 MYT
Kerajaan Persekutuan pada Khamis dilaporkan telah memfailkan tindakan pelucutan hak sivil (Civil Forfeiture Action) ke atas ahli perniagaan Pulau Pinang, Tan Sri Larry Low Hock Peng (kanan). - Gambar fail
Kerajaan Persekutuan pada Khamis dilaporkan telah memfailkan tindakan Pelucutan Hak Sivil (Civil Forfeiture Action) ke atas ahli perniagaan Pulau Pinang, Tan Sri Larry Low Hock Peng, yang juga merupakan ayah kepada keluarga hartawan kontroversi, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low,
Sumber memberitahu The Edge, aset yang dibekukan membabitkan tujuh akaun bank bernilai RM48 juta.
Menurut sumber itu lagi, kerajaan mahu membeku dan mendapatkan semula kesemua wang berkenaan kerana ia dipercayai sebahagian dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Tiga daripada tujuh akaun bank terbabit dikatakan merupakan akaun deposit tetap.
“Kami percaya wang berkenaan dipindahkan dari beberapa syarikat asing, yang didakwa dilakukan Jho Low,” sumber itu dipetik sebagai berkata.
Awal bulan ini, polis dari Bukit Aman dipercayai telah menyita rumah banglo milik keluarga Jho Low di Tanjung Bungah Park, Pulau Pinang.
Difahamkan, kediaman banglo mewah milik ibu Jho Low, Puan Sri Goh Gaik Ewe itu tidak berpenghuni ketika disita.
BACA: Banglo mewah milik keluarga Jho Low disita
Sementara itu, sumber berkenaan memberitahu bahawa permohonan tindakan Pelucutan Hak Sivil itu dilakukan di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).
Akta itu membenarkan kerajaan merampas aset hartanah tanpa melalui pendakwaan.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #AMLA #Bukit Aman #Hock Peng #Jho Low #polis #Tan Sri Larry Low Hock Peng
;