Setelah hampir 23 tahun, bayi yang terselamat dalam tragedi runtuhan Kondominium Highland Towers pada tahun 1993 akhirnya berjaya dipertemukan dengan insan yang telah menyelamatkannya.

Pertemuan bersejarah dan menyayat hati ini tercetus susulan hasrat anggota penyelamat berkenaan untuk berjumpa dengan bayi yang pernah diselamatkannya viral di media sosial baru-baru ini.

Hasrat anggota penyelamat tersebut, Norizan Saad yang kini bertugas sebagai Penguasa Kanan Bomba II untuk bertemu Nur Hamidah Nadjib, 24 tahun, bersama ibunya, Umi Rasyidah Khoiruman, 44, akhirnya tercapai apabila dua beranak itu tiba di ibu negara pada 27 Mac lalu.

Turut terlibat dalam operasi menyelamat dua beranak tersebut ialah Pegawai Bomba Azmi Morah Abas, Mahandran Muniandy, dan Engku Abdul Jalil Engku Ismail.

“Bermula dengan satu temu bual khas mengenai Highland Towers, kami mula tertanya-tanya bagaimana keadaan mereka berdua.

“Hasrat itu kemudiannya dimuat naik saya di laman Facebook dan mendapat liputan meluas serta turut disebarkan oleh pasukan IT bomba.

Norizan memaklumkan bahawa Nur Hamidah akhirnya dapat dihubungi melalui akaun Facebooknya dengan bantuan pasukan IT Bomba.

“Salah seorang dari kami cuba menghubungi Nur Hamidah melalui Facebook, selepas mendapat kepastian dia adalah bayi yang kami cari, kami akhirnya bertemu dua beranak ini,” cerita Norizan dalam satu sidang media di Putrajaya.

Norizan, 46, antara watak penting dalam usaha menyelamatkan Nur Hamidah selepas dijumpai terperangkap dalam runtuhan Blok A kondominium tersebut.

Beliau dipertanggungjawabkan membawa turun Nur Hamidah daripada runtuhan berkenaan sejurus mangsa dijumpai.

Setelah hampir 23 tahun, bayi yang terselamat dalam tragedi runtuhan kondominium Highland Towers pada tahun 1993 akhirnya berjaya ditemukan.
Norizan mendukung Nur Hamidah (dalam bulatan) keluar dari tapak nahas Highland Towers pada tahun 1993. Gambar kecil ialah foto Norizan terkini. -Foto Fail

Nur Hamidah, yang ketika kejadian baru berusia 14 bulan, tidak menyangka akhirnya dapat bertemu dengan ‘penyelamat’ dia dan ibunya.

“Saya hanya mengetahui mengenai kejadian ini pada usia tujuh tahun iaitu bila diceritakan oleh ibu. Ketika masuk sekolah menengah, saya mula mencari informasi mengenainya di internet.

“Saya lihat banyak video mengenai Highland Towers di YouTube, termasuk video seorang bayi memakai lampin yang diselamatkan anggota bomba.

"Saya tergamam bila tahu bahawa bayi itu adalah saya dan hanya kami berdua yang selamat dalam runtuhan itu,” katanya dalam sidang media yang sama.

Dalam pertemuan mereka pada sidang media pada Selasa, Nur Hamidah dan ibunya Umi Rasyidah berulang kali mengucapkan terima kasih kepada anggota pasukan yang menyelamatkan dia dan ibunya dalam tragedi malang tersebut.


www.astroawani.com/berita-malaysia/bayi-highland-towers-bakal-bertemu-anggota-bomba-yang-menyelamatkannya-98085
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim (duduk dua, kiri) bersama Nur Hamidah Nadjib (duduk dua, kanan) dan ibunya Umi Rasyidah Khoiruman (duduk, kanan) serta sebahagian pegawai Bomba dan Penyelamat pada sidang media mengenai operasi menyelamat ketika tragedi Highland Towers 23 tahun lalu di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini. -Foto Bernama

Nur Hamidah tiba di Kuala Lumpur pada Ahad dan terus dibawa bertemu buat kali pertama dengan empat anggota penyelamat terlibat di tapak nahas Highland Towers.

Dua beranak itu kemudian mengadakan pertemuan khas dengan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan pada Isnin.


Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.