Kerajaan Selangor sedia meneliti semula rayuan oleh Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Ia bagi membolehkan kedua-dua syarikat itu menyertai penstrukturan semula industri air di negeri berkenaan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri sedia meneliti semula rayuan PNSB dan Syabas sebelum kerajan persekutuan melaksanakan Seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air Selangor 2006.

Beliau bagaimanapun menetapkan kos pengambilalihan yang dicadangkan tidak boleh melebihi tawaran asal keseluruhan berjumlah RM 9.65 bilion.

Syarat itu penting kerana kenaikan kos pengambilalihan akan memberi impak negatifkepada tarif air sekaligus membebankan 5 juta pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Abdul Khalid dalam satu kenyataan berkata kerajaan Selangor telah dirujuk oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengenai rayuan itu.

Beliau pada masa sama menegaskan kerajaan negeri komited untuk terus bersama kerajaan persekutuan bagi meneruskan usaha pengambilalihan industri air Selangor.

Kerajaan negeri juga akan meneruskan perbincangan berkaitan pelaksanaan pengambilalihan berdasarkan peruntukan undang-undang.