SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan melaksanakan program pengawasan COVID-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN di Selangor bermula 8 Mei ini hingga 10 Jun depan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata program di bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik COVID-19 peringkat negeri itu akan dimulakan dengan DUN Kajang dan DUN Semenyih, Sabtu ini.

"Saringan percuma ini akan dilaksanakan di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap hari meliputi seluruh 56 DUN yang terletak dalam Selangor," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, program ini akan memberi manfaat dan peluang kepada rakyat negeri Selangor yang berisiko, pernah menjadi kontak dengan pesakit COVID-19, bergejala dan juga rakyat yang bimbang tentang status mereka.

"Diharap dengan program ini, rakyat Selangor akan mengambil langkah proaktif dengan menjalani saringan di kawasan seluruh negeri Selangor mengikut tarikh yang ditetapkan dan memainkan peranan untuk mengurangkan wabak COVID-19 di negeri Selangor," katanya.

Katanya, faktor yang amat membimbangkan adalah apabila rakyat Selangor yang dijangkiti COVID-19, tetapi tidak mengetahuinya atau diistilahkan sebagai silent carriers.

"Mereka ini adalah golongan yang tidak bergejala dan sihat. Golongan ini amat merisaukan kerana mereka boleh menularkan dan menjangkiti kumpulan yang berisiko tinggi," katanya.

-- BERNAMA