KUALA LUMPUR: Sektor kandungan digital menawarkan potensi besar untuk pengembangan ekonomi dan kreativiti negara, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata kerajaan perlu memastikan Malaysia terus kekal berada di barisan hadapan dalam inovasi dan teknologi di peringkat global.

"Saya berharap inisiatif yang telah dilakukan kerajaan dapat diteruskan dengan komitmen yang tinggi supaya negara ini tidak ketandusan bakat dan inovasi yang diperlukan untuk mendorong ekonomi digital Malaysia bergerak maju ke hadapan.

"Saya juga berharap program berkaitan kandungan digital diperluaskan di sekolah. Agensi di bawah Kementerian Digital bersedia membantu Kementerian Pelajaran dalam menjayakan inisiatif-inisiatif berkenaan," katanya ketika berucap merasmikan Festival Kandungan Digital Malaysia (MYDCF) dan Karnival Antarabangsa Mydigitalmaker 2024 di sini pada Jumaat.

Beliau berkata Malaysia telah berjaya menarik pelaburan berkaitan kandungan digital daripada beberapa studio berskala besar seperti Electronic Arts Codemasters, Streamline Studios, Bandai Namco, Playstation Studios, Larian Studios dan Virtuous.

"Ekonomi digital di Malaysia dijangka menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia menjelang 2025.

"Saya yakin dengan inisiatif berterusan seperti MYDCF dan MyDigitalMaker, kita mampu mengukuhkan lagi ekonomi digital tempatan dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing global," katanya.

MYDCF dan MyDigitalMaker 2024 dianjurkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah Kementerian Digital.

Ia diadakan bermula hari ini sehingga 15 September dan dijangka menarik kira-kira 20,000 pengunjung.

Program ini memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai kepentingan teknologi dalam pembangunan ekonomi masa depan melalui animasi, permainan digital, komik dan e-sukan.

-- BERNAMA