PUTRAJAYA: Malaysia tidak mengiktiraf sebarang tindakan sekatan yang bersifat unilateral yang tidak menggunapakai mekanisma digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Ringkasan AI
  • Malaysia tidak iktiraf tindakan sekatan dilakukan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat.
  • Jatronics Sdn Bhd bukan pengeluar semikonduktor di Malaysia.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata demikian sebagai respon kepada tindakan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang melakukan sekatan terhadap sebuah syarikat pengeluar semikonduktor di Malaysia bulan lalu kerana didakwa menghantar bahagian elektronik penting dan komponen kepada Rusia.

‘’Dalam mesyuarat pagi tadi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memberi penjelasan mengenai isu sebuah syarikat Malaysia yang telah dikenakan sekatan AS.

‘’Seperti yang telah dimaklumkan menerusi sidang media atau kenyataan media oleh MITI penjelasannya termasuklah syarikat tersebut bukan syarikat pembuatan tapi adalah sebuah syarikat perdagangan, bukan syarikat pembuatan yang menghasilkan bahan-bahan tersebut tetapi syarikat perdagangan yang terlibat bagi beberapa syarikat elektronik.

‘’Cuma pendirian Malaysia kekal iaitu kita tidak mengiktiraf sebarang tindakan sekatan bersifat unilateral ataupun bersifat yang tidak menggunapakai mekanisma Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UN,’’ katanya.

Terdahulu Astro AWANI melaporkan, MITI mengesahkan  Jatronics Sdn Bhd bukan pengeluar semikonduktor di Malaysia.

Menerusi satu kenyataan hari ini, MITI memaklumkan Jatronics ialah syarikat perdagangan Malaysia yang terlibat terutamanya dalam perdagangan atau perdagangan borong semikonduktor dan perkhidmatan fabrikasi.

Pada masa sama, Fahmi berkata tindakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis yang mengekang kemasukan motolori dari negara jiran yang membawa kontena berlogo syarikat berpangkalan di Israel daripada memasuki Malaysia, adalah selaras dengan dasar kerajaan.

Jelasnya, tindakan itu memberi isyarat jelas bahawa Malaysia akan terus mengekalkan larangan kemasukkan kapal dan kontena syarikat Israel daripada memasuki negara ini.

''Dalam mesyuarat hari ini kita ada mendapat maklum balas dan penegasan daripada Menteri Pengangkutan (MOT) bahawa yang dikawal terutama oleh MOT di pelabuhan-pelabuhan (adalah) semua kapal dari syarikat ZIM dan mereka tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan-pelabuhan di Malaysia.

''Kontena juga tidak dibenarkan, bagaimanapun dalam beberapa keadaan kadangkala bukan kapal ZIM yang membawa kontena milik mereka ini kerana kadangkala kontena ni disewakan ke syarikat syarikat lain untuk dibawa atas kapal-kapal mereka.

''Mungkin (ia dibawa oleh) kapal Mers dan sebagainya tapi pemantauan dibuat secara rapi dan telah diputuskan tidak membenarkan dan tidak membolehkan kontena-kontena ini dibawa masuk ke dalam negara, jadi yang berlaku di sempadan Perlis itu adalah selaras dasar kerajaan,'' tambahnya.

Ahad lepas, JKDM Perlis bertindak mengekang kemasukkan motolori dari negara jiran yang membawa kontena berlogo syarikat berpangkalan di Israel daripada memasuki negara.