Seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai di sini pada 11 September lalu dijumpai mati pada pagi Rabu.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Silvester Kilat Anak Lee, 19 tahun, berbangsa Iban dijumpai orang awam yang memancing di kawasan tersebut kira kira jam 10.40 pagi tadi.

Jarak lokasi penemuan mayat mangsa adalah kira kira 2 kilometer dari Pangkalan Feri Muara Tuang, di sini.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Bahagian Operasi, Farhan Sufyan Borhan berkata hanya sebahagian anggota badan mangsa dijumpai iaitu dari bahagian pinggang hingga ke kaki.

Menurutnya, bahagian anggota badan mangsa yang lain masih belum dijumpai dan usaha mencari masih diteruskan.

Pengecaman mayat dilakukan sendiri oleh bapa mangsa Lee Anak Langit, 44 tahun, melalui seluar jeans yang dipakai mangsa.

Mangsa dilaporkan hilang oleh bapanya pada 12 September lalu setelah tidak kelihatan sejak sehari sebelumnya selepas keluar membeli sayur di tempat tinggal yang juga merupakan kawasan bekerja mangsa di Jambatan Kampung Batu Kota Samarahan.

Susulan laporan, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan telah menggerakkan anggotanya ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat di sepanjang kawasan sungai tersebut.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.