KUALA LUMPUR: Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) telah melaksanakan 116 program yang memberi manfaat kepada 4,886 peserta daripada pelbagai kumpulan sasar bagi tempoh Januari 2018 hingga Ogos 2023, Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Luar Negeri Mohamad Alamin berkata antara peserta yang telah menyertai program tersebut termasuk dalam kalangan pegawai kerajaan, penguat kuasa undang-undang dan masyarakat awam meliputi ahli akademik, golongan belia, pelajar universiti dan organisasi masyarakat sivil dari dalam dan luar negara.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,425 adalah peserta tempatan dan selebihnya, peserta antarabangsa.

"Program-program ini berjaya meningkatkan pengetahuan dan keupayaan peserta dalam bidang pencegahan keganasan dan telah ia dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai organisasi termasuklah agensi peneraju dalam bidang menentang keganasan, pihak swasta, dan pertubuhan pemikir dari dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang meminta kerajaan menyatakan gambaran keseluruhan keberkesanan SEARCCT sejak Januari 2018 sehingga Ogos 2023.

Menurutnya keberkesanan SEARCCT boleh dilihat menerusi peranannya dalam melaksanakan program-program latihan dan bina upaya di samping terlibat dengan aktiviti penyelidikan, kesedaran awam serta pencegahan radikalisasi secara dalam talian melalui penghasilan dan penyebaran naratif balas.

"SEARCCT juga telah memperkenalkan program syarahan bersiri yang bertujuan membina 'mental firewall' dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan ideologi ekstremisme ganas.

"Selain itu bengkel-bengkel khusus turut dianjurkan dengan menggunakan pendekatan rentas bidang seperti sukan bola keranjang, futsal, e-sukan dan seni sebagai wadah yang dapat memberi kesedaran dan membina kemahiran pencegahan ekstremisme ganas," katanya.

-- BERNAMA