KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan dikesan menggunakan kaedah terbaharu memancing mangsa untuk menjadi lelaki simpanan kepada wanita kaya.

Duta Anti-Scam, Rahmat Fitri berkata, modus operandi scammer berkenaan ialah dengan menawarkan wang tunai sekiranya mangsa bersetuju untuk melayan atau bertemu dengan wanita terbabit.

Menurutnya, lazimnya scammer terbabit akan menghantar mesej tawaran melalui media sosial, atau aplikasi lain berserta dengan gambar wanita cantik.

“Sebagai contoh antara mesej yang direka sindiket penipuan berkenaan seperti ‘Welcome to Mummy Asian Dating Sites, do you like to hookup with rich mummies that will pay you RM10,000 per night meeting’.

“Jika terpedaya anda boleh diperas ugut dengan meminta wang, senang cerita dalam agama perkara ini haram, jadi kalau dah terkena jangan gatal nak buat aduan polis mengatakan kau kena scam,” katanya menerusi video yang dimuat naik pada Rabu.

Jelas Rahmat, banyak cara boleh digunakan scammer jenis ini untuk mengugut, jadi elakkan daripada menekan butang atau bersetuju dengan tawaran yang diberikan.

“Jangan terjebak dengan mana-mana urusan yang tidak benar, tidak bermoral yang akhirnya ditipu dan duit anda akan melayang.

“Jangan nak mengada-ngada kau cermin muka kau tu dulu, kalau muka kau dengan muka aku lagi handsome, makna kau lupakanlah nak berdating dengan sugar mummy ni,” selorohnya. - Sinar Harian