Seorang pelajar tingkatan tiga trauma selepas menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar senior di sebuah sekolah menengah di Pokok Sena, Kedah.

Malah, akibat diserang sebanyak dua kali, mangsa, Nur Fatihah Md Lazim, 15, enggan ke sekolah kerana takut dicederakan semula kumpulan pelajar itu.

Menceritakan kejadian jam 2.15 petang Khamis, ketika itu dia bersama sepupunya dalam perjalanan ke tempat letak motosikal sebelum didatangi sekumpulan pelajar perempuan yang secara tiba-tiba menyerang mangsa.

“Pada mulanya seorang daripada mereka tumbuk muka saya. Saya cuba untuk balas balik tetapi gagal. Kemudian dia tarik tudung dan rambut saya. Selepas saya tarik tudung dia, dia terjatuh. Kawan-kawannya pula datang menyerang saya dan tendang saya beramai-ramai.

“Selepas kejadian itu saya takut hendak ke sekolah, takut mereka akan pukul saya lagi. Itu sebab membuat laporan polis,” kata Nur Fatihah.

Mangsa kemudian menceritakan kejadian kepada kakaknya yang akhirnya diketahui ibunya.

Bimbang dengan kejadian yang menimpa mangsa, ibu Nur Fatihah membuat laporan polis di Balai Polis Pokok Sena.

Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan kumpulan pelajar itu berang dan menyerang mangsa kali kedua di rumahnya pada petang Khamis.

“Hari itu anak saya balik lewat. Dia kata dia kena pukul dengan kawan-kawan di sekolah lalu membuat laporan polis bersama kakaknya.

"Anak saya beritahu cikgu sekolah telah menasihatinya untuk membuat laporan polis selain mendapat rawatan di hospital selepas kejadian itu,” kata ibu Nur Fatihah, Siti Fatimah Yop.


Sementara itu, Bernama melaporkan kejadian itu berlaku akibat salah faham namun pelajar-pelajar yang memukul Nur Fatihah telah datang meminta maaf kepadanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan pula mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Tambah beliau , pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada tujuh pelajar terbabit dan mereka telah dibebaskan atas jaminan polis.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.