Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu menerima sebarang jawatan sekiranya berlaku rombakan barisan Kabinet oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden PKR itu juga menegaskan beliau tidak mencadangkan dirinya sendiri untuk menyertai Kabinet sebelum dilantik menjadi perdana menteri kelapan.

"Saya tidak minta, persefahaman dia jelas, saya tunggu. Saya tidak bercadang untuk sertai Kabinet Tun M, " katanya semasa sidang media selepas ucaptama Konvensyen Reformis 2019, di sini, pada Ahad.

BACA: Rombakan Kabinet: Mohamad Sabu, Mujahid serah kepada Perdana Menteri

BACA:
Anwar masuk Kabinet? Semua adalah tidak mustahil - Tun Mahathir

Dr Mahathir sebelum ini berkata masih terlalu awal untuk beliau membuat sebarang keputusan mengenai rombakan Kabinet, namun tidak menolak apa jua kemungkinan mengenai siapa yang akan digugurkan atau dinaikkan.

Malah, ketika ditanya pemberita adakah kemungkinan akan menyaksikan kemasukan Anwar, beliau berkata, semua adalah tidak mustahil.

Pengerusi PH itu berkata, cadangan untuk merombak Kabinet itu mendapat reaksi yang berbeza, namun kajian menyeluruh akan dibuat sebelum sebarang keputusan boleh dilakukan.


Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis tersebut, Anwar turut mengingatkan kepimpinan dan ahli PKR supaya berhenti membangkitkan isu peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri antara beliau dan Dr Mahathir.

"Bagi ruang kepada Tun Dr Mahathir supaya proses transisi (peralihan kuasa) berlaku dengan cara yang baik.

"Kalau keadaan tenang dan aman, akan mudahkan Tun (Mahathir) menjalankan tugas... saya tidak gusar dan saya tidak runsing walaupun ada (pihak) yang cuba gugat persefahaman (peralihan kuasa) ini," katanya.

Menurut Anwar lagi, hanya mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang akan menentukan siapa yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 selain memutuskan tarikh sebenar peralihan kuasa itu berlaku.

Rabu lepas, Dr Mahathir membayangkan akan melakukan rombakan Kabinet sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.

Beliau menjelaskan, rombakan Jemaah Menteri itu perlu dilakukan susulan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, baru-baru ini.