PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bersedia untuk menerima pandangan daripada bekas Menteri-Menteri kesihatan sebelum ini untuk meneraju kementerian berkenaan.

Ujarnya, beliau amat terbuka untuk menerima sebarang cadangan daripada mana-mana pihak termasuk penelitian terhadap polisi yang telah dikemukakan sebelum ini.

"Saya amat terbuka untuk terima cadangan dan pandangan tentang perkara-perkara yang Menteri sebelum ini lakukan atau ada polisi yang telah diwujudkan.

"Tetapi selaku Menteri yang baharu, pastinya kita akan dapatkan maklum balas dari kementerian itu sendiri dan kita lihat apa polisi yang mungkin boleh diterima pakai atau ditolak kita belum pasti lagi," katanya.

KABINET PERPADUAN NASIONAL

Beliau berkata demikian selepas hadir sempena hari pertama memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Kesihatan di pejabatnya pada Isnin.

Dalam masa sama, Dr Zaliha turut menzahirkan keterujaan untuk mengetuai KKM selain mengakui ia merupakan satu cabaran yang amat tinggi.

Selain itu, aspek wanita dan kanak-kanak juga antara perkara yang bakal menjadi tumpuannya berdasarkan maklum balas yang telah diperoleh.

Melihat kepada pengalamannya sebelum ini di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Dr Zaliha menyatakan ia sedikit sebanyak membantunya untuk menerajui KKM.

"Sebelum ini saya merupakan Setiausaha Politik kepada Wan Azizah di KPWKM dan itu banyak membantu dalam kerjaya saya sebagai menteri wanita yang pertama (KKM).

"NGO wanita ada yang sudah hubungi saya termasuk doktor-doktor wanita dan kita akan fikir juga mengenai perkara yang sangat berkait dengan wanita dan kanak-kanak," katanya lagi.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang disambut kakitangan KKM sebelum mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi.

Dr Zaliha mula aktif dalam bidang poltik pada 1999 sebagai Ketua Wanita PKR Johor dan enam tahun kemudian dilantik sebagai Pengerusi PKR negeri berkenaan sebelum menjawat jawatan Naib Ketua Wanita PKR pada 2007.

Beliau kemudian dipilih sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR pada 2018 dan dua tahun kemudian, dilantik sebagai Pengerusi Biro Strategi, Dasar dan Latihan PKR.