Mohammad Fadzli Abdullah, 15, berkata, dia yang dilahirkan pada 18 Oktober 2009 hanya sempat merasai nikmat belaian ibunya, Asmira Ismail yang kini berusia 34 tahun selama lima bulan sebelum mereka terpisah dan dia dipelihara keluarga angkat berasal dari Sarawak itu.
"Saya mengharapkan dapat bertemu dengan ibu saya yang dikatakan berasal dari Selangor kerana sangat merinduinya. Saya mahu menatap wajah orang yang melahirkan saya ke dunia ini.
"Apa pun alasannya meninggalkan saya tidak menjadi persoalan kerana niat memang mahu bertemu dengannya untuk melepaskan rindu.
"Selepas itu, terpulanglah pada ibu sama ada mahu bertemu semula atau sebaliknya kerana keluarga tempat saya mengemis kasih sejak 15 tahun lalu ini sudah dianggap sebagai keluarga saya," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Sementara itu, Sharifah Hayati Wan Azami, 59, yang menjaga Mohammad Fadli sejak dilahirkan berkata, usaha mencari Asmira dilakukan bermula dari hari pertama remaja itu ditinggalkan di rumahnya di Taman Harmoni, Simpang Renggam.
Katanya, kisah bermula selepas Asmira menumpang tinggal di rumahnya ketika mengandung tujuh bulan sebelum melahirkan zuriatnya di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.
"Sepanjang tempoh berpantang, wanita itu berada dalam jagaan kami sehingga usia bayinya lima bulan. Dia menghilangkan diri ketika saya dan suami keluar bekerja.
"Dia hanya maklumkan kepada anak saya agar menjaga bayinya kerana mahu keluar sekejap.
"Sekiranya Asmira sendiri atau sesiapa sahaja yang mengenalinya dapat menghubungi kami di talian 011-17043200 untuk janji temu agar dapat mempertemukan dua beranak ini dan melepaskan rindu anaknya itu," katanya.
Tambahnya, tujuan pertemuan antara anak angkatnya dengan ibu kandung juga untuk memudahkan urusun dokumentasi. -Sinar Harian