'Saya kurang RM40,000 untuk tawan Gunung Himlung' - Pendaki solo
Wan Syamsul Amly
Mei 24, 2016 17:40 MYT
Mei 24, 2016 17:40 MYT
Pendaki solo Khairil Aslan Ab Rasid mengakui kekurangan dana sekurang-kurangnya RM40,000 untuk menjadi rakyat pertama negara yang menawan puncak Gunung Himlung, Nepal.
Katanya, dia memerlukan dana yang cukup bagi menampung kos pendakian yang dijadual bermula pada awal September depan.
"Saya kekurangan dana dalam misi pendakian yang akan mengambil masa selama 40 hari ini.
"Apa yang ada sekarang hanya sedikit dana hasil sumbangan kawan-kawan serta saudara terdekat. Musim pendakian akan bermula pada awal September dan berakhir pada akhir Oktober," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sebelum ini, Khairil Aslan, 41, melakar sejarah apabila berjaya menawan tiga puncak Himalaya di Kathmandu, Nepal pada 20 Disember lepas.
Anak jati Batu Kurau, Taiping itu memberitahu ia merupakan misi membawa nama negara ke persada pendakian dunia untuk meneruskan misi paling besar iaitu menjadi Muslim pertama dunia dan pendaki kedua dunia dalam misi Grand Slam.
Sebelum ini, Khairil Aslan mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak untuk merealisasikan impiannya mendaki tujuh puncak di tujuh benua dalam tempoh setahun.
Jelasnya, perbelanjaan yang diperlukan untuk menjayakan misi mencabar itu mencecah jutaan Ringgit.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebelum ini memberitahu, Khairil Aslan dijadikan ikon anak muda negeri itu sebagai usaha membakar semangat golongan muda untuk terus berusaha mencipta kejayaan
Jelasnya, kejayaan Khairil Aslan itu harus dicontohi golongan muda terutama semangatnya yang tidak mudah mengalah ketika mahu mencapai matlamat misi berkenaan.