Ibu kepada Dyana Sofya Mohd Daud, Yammy Samat, 59 mencabar pihak yang memfitnahnya mengemukakan bukti terhadap tuduhan yang dibuat ke atasnya.

Dalam satu temubual bersama akhbar Sinar Harian, Yammy berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat di laman media sosial berhubung kontrak, aset dan kekayaan yang didakwa dimilikinya.

Yammy menyifatkan tuduhan itu berniat jahat dan bertujuan menjatuhkan imejnya serta menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap dirinya.

“Kenyataan di laman sosial itu tidak benar. Jika benar, saya cabar kemukakan bukti dan kalau profesional, buatlah aduan mengikut saluran betul, bukannya main tuduh-tuduh.

“Saya cabar kemukakan fakta seperti didakwa, bukan hanya membuat tuduhan di laman sosial,” kata Yammy.

Sebelum ini, laman Facebook Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad, berkongsi maklumat, mendakwa Yammy memiliki pelbagai aset dan memperoleh pinjaman kewangan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Dalam muat naik status terbarunya, beliau mendakwa menerima semua tuduhan itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan bertindak berkongsi semua maklumat tersebut.

Maklumat mengenai Yammy yang dikongsi itu antaranya menyebut, Yammy menerima enam permit teksi di Ipoh, memiliki kawasan balak seluas 600 hektar di Kroh, memiliki rumah kedai di Pusing dan menerima rumah berkembar di Gopeng, selain memperoleh pinjaman MARA berjumlah RM750,000.

Selain itu, ibu calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan itu juga didakwa mendapat permit mengimport (AP) beras Siam dan pajakan 40 hektar tanah lombong besi di Kinta.

Kos pelajaran tiga anak Yammy juga dikatakan ditanggung Yayasan Menteri Besar Perak sejak mereka berusia tujuh tahun hingga melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Yammy berkata, beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan semua tuduhan itu.

“Saya telah membuat laporan di Balai Polis Kampung Tawas petang semalam (kelmarin),” katanya.

Beliau berkata, dakwaan yang dikongsi Nawawi bahawa beliau memegang jawatan Setiausaha Wanita UMNO Bahagian tidak benar kerana beliau hanya ahli biasa.