UM8 ialah kumpulan terdiri daripada lapan mahasiswa yang didakwa dan dijatuhkan hukuman kerana terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram pada Oktober lepas.
Penganjuran ‘Occupy UM8’ sejak 10 Disember oleh Mahasiswa UM ialah sebagai tanda solidariti penuh kepada UM8.
Mereka tekad membuat protes duduk bantah ini walaupun penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiba petang semalam untuk menurun beberapa sepanduk di sekitar lokasi itu.
Pada malamnya, mereka 'berkelah' lengkap dengan peralatan dan hidangan BBQ serta persembahan nyanyian lagu-lagu aktivisme daripada Adam Adli dan kugirannya.
Mahasiswa-mahasiswa UM bersama peguam-peguam daripada Firma Guaman Bon Advocates mengadakan BBQ dan di hadapan pintu masuk UM - Semua foto oleh Astro AWANI /MARIAH AHMAD
Mereka turut menganjurkan program ‘Sembang Tepi Parit’ yang menampilkan pengucapan awam oleh aktivis Hishamudin Rais dan Adam Adli.
Hishamudin dalam ucapannya menyeru mahasiswa untuk mengajak lebih ramai lagi mahasiswa UM lain menyertai perjuangan mereka.
“Saudara-saudari dari Universiti Malaya, kamu di sini tak sampai 500 orang. Apa maknanya ini? Ini maknanya kamu telah gagal, kerana dalam kampus itu ada 10,000 pelajar. Kamu tidak dapat (mengumpulkan) 1,000 pelajar berada di sini.
“Jikalau kamu tidak mendapat 1,000 pelajar berkumpul di sini, jangan panggil kamu menyambung tradisi 40 tahun perjuangan UM. Oleh itu kamu perlu mengeluarkan propaganda, pergi bilik ke bilik, dari kolej ke kolej dan ajak kawan-kawan kami berjuang bersama-sama,” tambah beliau.
Turut hadir malam itu pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat iaitu Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; dan Setiausaha Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP), Dyana Sofya Mohd Daud bersolidariti bersama mahasiswa UM untuk UM8.
Lim (kiri), Teresa dan Dyana Sofya hadir di tapak 'Occupy UM8' kira-kira jam 10.30 malam semalam.
Lim Kit Siang dalam satu ucapan di tapak Occupy UM8 berkata pihak pentadbiran UM perlu mengkaji semula tindakan terhadap UM8.
“Saya berharap mereka yang bertanggungjawab mengenai perkara ini faham mengenai idealisme orang muda negara kita dan memberi galakan kepada mereka. Bukan menghalang perkembangan itu.
"Idealisme orang muda adalah driving force yang boleh digunakan untuk perkembangan kemajuan negara,” kata beliau.
Lim Kit Siang berkata beliau memberi sokongan dan galakan sepenuhnya kepada mahasiswa UM kerana mereka adalah inspirasi untuk rakyat Malaysia.
Sebelum itu, pada petang 12 Disember kira-kira jam 6.30 petang, Datin Paduka Marina Mahathir dan bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Saifuddin Abdullah membuat lawatan di sekitar lokasi 'Occupy UM8'.
Dyana Sofya yang turut hadir petang semalam pada kira-kira jam 3.20 membawa makanan untuk mahasiwa UM di ‘Occupy UM8’.
Beliau juga membantu mahasiswa membuat sepanduk.