KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengumumkan pertambahan satu kes positif COVID-19 di Kuching.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negeri itu meningkat kepada 769 kes setakat ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan pada Selasa, kes ke-769 ini melibatkan seorang wanita warga Indonesia yang tiba dari Kalimantan Barat melalui kebenaran di bawah pendekatan pelancongan perubatan (medical tourism).

“Kes ini mendapat kebenaran masuk ke Sarawak sebagai pengiring kepada seorang pesakit barah yang perlu mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital swasta di Kuching.

“Mereka dilaporkan masuk melalui pintu masuk persempadanan darat di ICQS Tebedu, Serian pada 19 Oktober 2020 dan menjalani saringan pada hari yang sama,” kata kenyataan itu.

Mereka juga telah ditempatkan dibawah arahan kuarantin di hospital yang akan merawat pesakit barah tersebut.

Keputusan ujian saringan yang telah dijalankan di makmal swasta di Kuching mengesahkan kes ini positif COVID-19 pada hari sama manakala pesakit yang akan dirawat pula disahkan negatif.

Kes telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Antara lain JPBN Sarawak turut mengumumkan pertambahan dua kes yang dilaporkan pulih dan dibenar discaj melibatkan kes yang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj meningkat kepada 705 kes atau 91.68 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.