KUALA LUMPUR: Sarawak yakin kadar pendapatan negeri itu dapat terus ditingkatkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini berikutan pertumbuhan ekonomi negeri yang dilihat cukup memberangsangkan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pada suku pertama tahun ini Sarawak memperolehi pendapatan bernilai RM4.798 billion, sekali gus membuktikan negeri itu berada pada landasan tepat ke arah menjadi negeri berpendapatan tinggi menerusi perlaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCSD 2030).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gedong berkata keyakinan itu didorong oleh usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan bidang ekonomi baharu dan penekanan kepada usaha meneroka penggunaan teknologi serta pendigitalan dalam pelbagai sektor.

"Pendapatan negeri Sarawak akan berubah... saya yakin dan jangkakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini pendapatan kita akan terus meningkat.

"Yang kita perlu berani mengubah minda rakyat terutama di kawasan pedalaman dan menerapkan penggunaan teknologi... kemudian kita boleh ubah rantaian nilai keseluruhan ekonomi kita," katanya pada sesi dialog awam dalam program Diskusi Belanjawan Sarawak di PAUM Clubhouse, Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi dan Naib Censelor UM Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman serta lebih 400 mahasiswa Sarawak daripada 12 universiti awam di Semenanjung.

Program anjuran Persatuan Mahasiswa Sarawak Universiti Malaya (PMSUM) itu bertujuan membuka ruang kepada mahasiswa dan anak Sarawak memberi pandangan, input serta maklum balas dalam merangka belanjawan negeri.

Sementara itu Abang Johari dalam persidangan media kemudiannya berkata usaha pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh karajaan Sarawak yang sedang berlangsung ketika ini bukan untuk tujuan komersial semata-mata sebaliknya kerajaan negeri berhasrat menjadikan ia sebagai sebuah entiti infrastruktur.

Selain itu katanya langkah itu juga selaras dengan cadangan Sarawak untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa yang baharu dalam usaha menjadikan ibu negeri, Kuching sebagai hub penerbangan serantau.

-- BERNAMA