KUCHING: Sarawak memenangi bidaan sebagai tuan rumah Persidangan Konsortium Akademik Asia Pasifik untuk Kesihatan Awam (APACPH) ke-54 yang akan berlangsung pada 30 Okt hingga 1 Nov depan.

Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hiam berkata Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Business Events Sarawak (BESarawak) telah memainkan peranan besar di sebalik kejayaan menjadi tuan rumah persidangan yang dijangka dihadiri sekurang-kurangnya 800 pakar dalam bidang perubatan komuniti dan kesihatan awam global.

"Legasi yang kami harapkan ialah persidangan di Sarawak ini adalah kunci kepada perkembangan kesihatan awam Malaysia dan Asia," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri berkata penularan COVID-19 dan Rabies adalah antara cabaran kesihatan awam di Sarawak yang memerlukan negeri itu mengumpulkan input global.

"Untuk memahami cabaran dan bagaimana mengatasinya, Sarawak memerlukan platform untuk belajar daripada yang terbaik. Sebab itu kenapa UNIMAS dan Business Events Sarawak bekerjasama untuk membida bagi penganjuran persidangan penting itu," katanya.

Sementara itu, BESarawak dalam satu kenyataan memaklumkan persidangan bertemakan 'Merentasi Normal Baharu: Memperkukuh Kesihatan Awam Melalui Pendidikan, Penyelidikan dan Kerjasama' bertujuan menyediakan platform kukuh untuk masyarakat dan kesihatan awam.

Menurut kenyataan itu, perkara ini boleh dicapai menerusi polisi dan pembangunan strategi; pelaksanaan program pendidikan, penyelidikan dan latihan, serta demonstrasi intervensi yang berkesan.

Maklumat lanjut berhubung persidangan berkenaan boleh diperoleh di https://apacph2023conference.com/, atau menghubungi Pengerusi Persidangan Prof. Madya Dr Jeffrey Stephen di enquiry@apacph2023conference.com.

-- BERNAMA