KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak bercadang melancarkan kempen menyeluruh untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai peraturan penggunaan dron, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Lee Kim Shin.

Beliau berkata kempen itu akan melibatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, pemimpin masyarakat dan saluran media untuk menyebarkan maklumat mengenai peraturan penggunaan dron.

"Kita akan menganjurkan bengkel, seminar dan program jangkauan untuk mendidik orang awam di seluruh Sarawak, sama ada di wilayah selatan, tengah atau utara negeri yang akses kepada maklumat mungkin terhad," katanya ketika berucap merasmikan Sarawak Aviation Safety Talk 2024 di sini semalam.

Lee berkata kerajaan negeri prihatin terhadap penggunaan dron dan keperluan mendesak untuk kesedaran awam berhubung undang-undang yang mengawal operasi peralatan itu, justeru menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan setiap pengendali dron peka dengan keperluan undang-undang dan potensi risiko yang berkaitan dengan penggunaan dron yang tidak betul.

"Ia bukan sekadar untuk mengelak denda atau penalti, ia tentang melindungi nyawa, menjaga warisan dan mengekalkan integriti ruang udara kita," katanya.

Lee berkata operasi dron di Malaysia, sama ada secara komersial atau rekreasi tertakluk pada perundangan penerbangan iaitu Bahagian XVI Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan Pekeliling Maklumat Aeronautika 4/2008 dan semua pengendali dron perlu mematuhi sekatan, had operasi dan peraturan di bawah perundangan itu.

Beliau berkata peraturan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memerlukan sesiapa yang berhasrat mengendalikan dron di ruang awam atau dalam ruang udara terkawal perlu mendapatkan permit berkaitan terlebih dahulu.

"Saya menggesa semua persatuan, syarikat dan individu di Sarawak supaya mengambil serius hal ini. Penggunaan dron bukan hanya soal kebebasan peribadi, tetapi ia juga soal keselamatan awam dan negara," katanya.

-- BERNAMA