Sarawak perlu mengambil lebih ramai guru prasekolah, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata langkah itu perlu diambil kerana usaha sedang dijalankan bagi menubuhkan lebih banyak sekolah persediaan di rumah panjang, kampung dan pusat penempatan yang banyak terdapat di kawasan luar bandar.

"Dalam mendapatkan jumlah guru prasekolah yang mencukupi menjadi sangat mencabar dan proses yang mengambil masa yang lama," katanya semasa berucap menutup konvensyen pendidikan prasekolah sempena sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat negeri di sini hari ini.

Taib berkata oleh yang demikian usaha perlu dimulakan daripada sekarang.

Menurut Ketua Menteri, pendidikan prasekolah adalah sangat penting dalam menyedia peluang seluasnya kepada kanak-kanak pada usia sangat muda untuk tumbesaran dan mengasah bakat mereka.

Taib berkata pada waktu yang sama kanak-kanak dapat diberi didikan yang betul untuk bersosial, berkomunikasi dan belajar bersama-sama rakan sebaya dalam suasana pembelajaran penuh kegembiraan.

Beliau berkata pada masa ini terdapat kira-kira 80,000 kanak-kanak di seluruh negeri yang memperoleh pendidikan prasekolah di 68 buah sekolah persediaan dan 367 tadika persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pelajaran.

Taib berkata mereka kebanyakannya berada di kawasan bandar dan kerana itu fokus sekarang adalah terhadap kawasan luar bandar.

Beliau berkata pada waktu yang sama golongan ibu bapa yang berada di luar bandar mesti diyakinkan tentang perlunya anak-anak mereka dimasukkan ke sekolah-sekolah persediaan sebelum memasuki gerbang pendidikan formal di sekolah rendah.

Taib memuji usaha terbaharu Majlis Pembangunan Pendidikan PraSekolah dalam mengeluarkan manual Piawaian Kualiti Tadika untuk meningkatkan pendidikan prasekolah.