KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang mengkaji untuk menggabungkan empat pihak berkuasa bekalan air utama di negeri itu di bawah satu entiti akan dikenali sebagai Lembaga Air Negeri.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kajian itu melibatkan penggabungan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan Laku Management Sdn Bhd (LAKU).

"Dalam tempoh dua tahun ini, kami akan mengkaji mengenai penggabungan badan-badan ini dan strukturnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Air dan Air Antarabangsa Borneo (BIWWWEC) di sini pada Selasa.

Abang Johari berkata Sarawak mempunyai banyak sumber air termasuklah dari tasik, selain dari empangan Bakun dan Murum, justeru adalah penting untuk mewujudkan satu badan yang mengawal selia.

"Kita perlukan tangki (bekalan air), tangki adalah grid utama kemudian (diikuti dengan) pengagihan dan dari situ kita akan mempunyai data bagaimana hendak merancang pengagihan air. Kawasan kita )negeri Sarawak) agak besar dan kita perlu membuat perancangan yang teliti," katanya.

Semasa berucap di majlis itu, Abang Johari berkata air sebagai sumber yang terbatas dan tidak boleh diganti untuk keperluan asas dalam kehidupan harian perlu diuruskan dengan baik.

"Dalam konteks pertumbuhan demografi, peningkatan persaingan untuk mendapatkan air dan perhatian lebih terhadap isu alam sekitar, air untuk makanan kekal sebagai isu teras yang tidak lagi dapat ditangani melalui pendekatan sektor yang sempit.

"Air menghubungkan alam sekitar dengan mata pencarian kita, menambah baik akses kepada bekalan air bersih terutama di kawasan terdedah kepada kekurangan air, mengurangkan kemiskinan, meningkatkan kesihatan dan prasyarat kepada peningkatan kualiti hidup," katanya.

BIWWEC 2022 bertemakan 'Kemampanan dan Daya Ketahanan menerusi Teknologi dan Inovasi Pintar' memfokus kepada penyelesaian aktif dan bersinergi untuk mengatasi cabaran keperluan air dan air sisa di Borneo.

-- BERNAMA