Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan kawasan lapang dan hijau yang moden itu akan dilaksana selepas IPD Kapit baharu, yang diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan beliau ke daerah ini pada September lepas, siap.
Beliau berkata kawasan itu, yang merupakan lokasi perjanjian damai antara masyarakat Iban dan Orang Ulu pada 1924, mempunyai nilai sejarah tersendiri.
“Oleh yang demikian, kita perlu membangun dan memodenkan kawasan ini sebagai simbol perpaduan bukan hanya di Kapit malah di Sarawak,” katanya semasa merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-100 Perjanjian Damai Kapit di Kubu Sylvia di sini semalam.
Bagi tujuan itu, Abang Johari berkata beliau akan berbincang dengan Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang juga Menteri Kerja Raya dan wakil rakyat tempatan lain berhubung pembinaan dataran tersebut.
Beliau juga berkata hasil keamanan dan kestabilan politik yang terpelihara, Sarawak mempunyai masa depan cerah.
Abang Johari berkata justeru itu, kerajaan akan meneruskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 dengan menekankan tiga tonggak penting iaitu kemajuan ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam.
Beliau berkata ketiga-tiga tonggak akan memastikan Sarawak terus bergerak ke hadapan di landasan yang betul.
Apa yang penting, kata Abang Johari adalah memastikan keamanan terus terpelihara agar dapat menjadi platform generasi akan datang membawa lebih banyak pembangunan untuk Bumi Kenyalang.
Turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono.
-- BERNAMA