GEORGE TOWN: Acara tahunan sambutan Tahun Baharu Cina di Jeti Chew di sini bulan depan dibatalkan sekali lagi berikutan kebimbangan penularan varian Omicron wabak COVID-19 di dalam negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota Daniel Gooi berkata, perkara itu diputuskan oleh Persatuan Penduduk Jeti Chew yang disampaikan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini, bagi menjaga keselamatan dan kesihatan bukan sahaja 74 keluarga yang menetap di situ tetapi juga orang awam.

"Tahun ini sepatutnya menjadi tahun ke-114 sambutan perayaan itu di Jeti Chew namun, kita terpaksa batalkan kerana risau berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP)...ini kerana sambutan perayaan itu turut menjadi tumpuan ratusan ribu pelancong dari dalam dan luar negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Selain Jeti Chew, terdapat lima lagi jeti membabitkan perkampungan terapung terdiri daripada keluarga berketurunan Lim, Tan, Lee, Yeoh dan satu lagi keturunan campuran dipanggil 'Mixed Clan Jetty' dan semuanya kini menjadi lokasi pelancongan di Pulau Pinang.

Ini merupakan tahun kedua sambutan Tahun Baharu Cina di Jeti Chew yang lazimnya disambut secara besar-besaran pada hari kelapan perayaan, dibatalkan selepas 2021 berikutan pandemik COVID-19.

Sambutan perayaan di jeti itu biasanya akan dihadiri puluhan ribu penganut Buddha beretnik Hokkien dari seluruh negara yang menyaksikan persembahan kebudayaan, tarian singa, pertunjukan bunga api serta pameran makanan di atas meja sepanjang 200 kaki.

Sementara itu, Gooi berkata kerja-kerja pemulihan dan penambahbaikan Tokong Chao Yuan Gong atau lebih dikenali sebagai Tokong Jeti Chew telah siap selepas dua tahun pelaksanaannya dan upacara pembukaan secara keagamaan akan diadakan pada 22 Jan dengan kedatangan terhad disebabkan perlu mematuhi SOP.

-- BERNAMA