KUALA LUMPUR:Berbaki sehari lagi menjelang tahun baharu 2021, antara momen paling dinantikan rakyat Malaysia khususnya warga kota, adalah sambutan besar-besaran dan pertunjukan bunga api di kawasan tumpuan awam seperti Dataran Merdeka, pekarangan KLCC mahupun Dataran Putrajaya.

Namun tahun ini, pandemik COVID-19 yang masih 'bermaharajalela' membantutkan perancangan sebarang sambutan ambang tahun baharu berskala besar, apatah lagi aktiviti perhimpunan berskala besar seperti itu sememangnya tidak dibenarkan kerajaan.

Isnin lepas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa acara atau aktiviti secara perhimpunan masih lagi dilarang sebagaimana yang ditetapkan, berikutan penjarakan sosial sukar dikawal.

Jurucakap Prasarana Malaysia Berhad pula ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa berbeza daripada kelaziman sambutan tahun baharu sebelum ini, perkhidmatan rangkaian rel transit dan bas syarikat itu tidak akan dilanjutkan sehingga awal pagi.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula yang tidak mahu menghampakan orang ramai dalam meraikan tahun 2021, tampil dengan kelainannya tahun ini dengan mengadakan Konsert Maya Ambang Baru 2021.

DBKL melalui hantaran di laman web rasminya berkata serangan pandemik COVID-19 memaksanya untuk beralih kepada kaedah baharu dalam pelaksanaan pelbagai aspek kerja.

"Tidak terkecuali dengan Orkestra Kuala Lumpur (OKL) DBKL, yang selama ini begitu gah memberi hiburan di pentas secara langsung serta menjadi tulang belakang muzik kepada ratusan selebriti melakukan persembahan semenjak 1988.

"Kini OKL akan terus beraksi untuk warga kota namun secara maya melalui siaran dalam talian bersempena dengan Konsert Maya Ambang Baru 2021," menurut hantaran itu.

Konsert maya itu akan disiarkan di Facebook rasmi DBKL dan Facebook Bapakku.FM pada 31 Dis, pukul 10 malam dengan tema 'Wargakota Terus Bertahan' sebagai analogi kepada keadaan COVID-19 yang menimpa dunia mahupun negara.

Sementara itu, difahamkan setakat ini hanya negeri Sarawak yang akan menganjurkan acara sambutan tahun baharu, di Stadium Tertutup Kuching dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dan hanya 1,000 tetamu yang dijemput sahaja dibenarkan hadir.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan berkata penganjuran acara itu juga sudah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, namun pihaknya akan sentiasa berwaspada dengan mengambil kira setiap SOP yang digariskan.

Sementara itu bagi seorang pengurus bisnes katering Siti Nur Ratna Saiful Anwar pula, menurutnya setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang tempahan untuk sambutan tahun baharu daripada mana-mana syarikat atau keluarga.

"Kalau ada orang tempah sekali pun, kami tidak terima atas faktor COVID-19 dan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan," katanya.

Bagi perunding majlis yang hanya mahu dikenali sebagai Alice, 27, sambutan tahun baharunya bakal diraikan di rumah bersama keluarga secara biasa, namun menurutnya kenangan bersama keluarga itu adalah sesuatu yang amat bermakna.

Ketika ditanya mengenai harapan tahun baharu, masing-masing mengharapkan supaya pandemik COVID-19 segera berakhir dan hubungan antara ahli terdekat masih terjalin erat walaupun duduk berjauhan.

-- BERNAMA