Penganut Buddha di Malaysia akan menyambut Hari Wesak, sempena kelahiran, pencerahan dan kematian Gautama Buddha, esok di rumah masing-masing dalam normal baharu susulan pandemik COVID-19, tanpa festival di kuil dan perarakan waktu malam seperti sebelum ini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik itu mungkin sudah dilonggarkan kepada PKPB sehingga 12 Mei bagi membenarkan beberapa aktiviti ekonomi dimulakan semula tetapi ia tetap melarang perhimpunan beramai-ramai

Justeru itu, ramai penganut Buddha beralih kepada teknologi untuk mengambil bahagian secara maya dalam perkhidmatan e-Wesak yang dilaksanakan oleh kuil dan persatuan di seluruh negara, dengan membawa tema "Toleransi dan Persefahaman Bermula dengan Saya".

Seorang guru, Foo Yuan Han, 36, akan merindui perjumpaan dengan penganut Buddha yang lain di kuil sempena sambutan itu.

"Kebiasaannya Hari Wesak adalah satu masa apabila semua kita akan berhimpun di kuil untuk mengambil bahagian dalam upacara sembahyang dan memandikan patung anak Buddha dengan menggunakan air wangi sebanyak tiga kali. Tetapi sekarang, dengan teknologi baharu kita boleh menyempurnakan signifikasi agung itu secara dalam talian dan menyertai aktivitinya di rumah menerusi video YouTube dan Facebook, serta melaksanakan amalan yang diajar oleh Buddha," katanya kepada Bernama.

Memandikan Buddha adalah sebagai simbol menyucikan badan, ucapan dan fikiran bagi memadamkan kemarahan, ketamakan dan kejahilan sebagai membersihkan fikiran bagi mencapai kebajikan dan kebijaksanaan.

Pengurus insurans Lye Yik Ming, 32, telah membangunkan satu platform dalam talian agar penganutnya dapat menyertai upacara Wesak.

"Saya membangunkannya pada bulan lepas bersama-sama isteri saya yang bekerja dalam sektor IT. Ia boleh didapati dalam bahasa Mandarin dan Inggeris di alamat http://butterworthlaybuddhist.com di bawah Butterworth Lay Buddhist Society e-Buddha Bathing. Walaupun kami bekerja di Lembah Klang dan tidak boleh balik ke kampung di Butterworth susulan PKP, kami masih boleh menyertai dan menyediakan platform ini untuk penganut yang lain menyambut Hari Wesak secara maya," katanya.

Pesara Liew Yong Yu, 60, berkata sambutan tahun ini amat bermakna kerana semua penganut boleh menyambutnya di rumah.

"Inilah masanya untuk mendidik diri kami untuk menjaga orang lain, agar kami kekal sihat. Kita juga perlu memastikan kesihatan orang lain dipelihara dengan meraikan sambutan yang bermakna ini di rumah sahaja. Malahan, saya boleh meningkatkan batin saya untuk memahami dan memelihara penghormatan kepada Buddha, Dhamma dan Sangha menerusi tontonan video dalam talian dan perbincangan secara maya semasa PKP," katanya.

-- BERNAMA