GURUN: "Mereka memang kerap bertengkar, tapi tak sangka anak saudara mak cik tu sanggup kelar leher ibunya sehingga mati," kata Asmah Jon, 60.

Terdahulu, Asmah menemui kakak sulungnya, Sarah, 70, sudah meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di rumahnya di Kampung Jeniang, Batu 5, Jalan Gurun Jeniang, di sini, pagi Rabu.

Menurut Asmah, kali terakhir dia mendengar pertengkaran antara dua beranak itu malam tadi.

“Mak cik pergi ke rumah kak long (arwah kakak) untuk maklumkan anaknya maut dilanggar lori.

“Tetapi dia tidak menyahut lalu mak cik buka pintu dan masuk ke dalam rumah...  ternampak tubuh kak long kaku berlumuran darah dan ditutup dengan kain batik dan pelikat,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di tempat kejadian, hari ini.


Jenayah | Anak kelar leher ibu maut dilanggar lori

BACA: Lelaki maut dilanggar lori selepas kelar leher ibu

Katanya, dia kemudian meminta anaknya menghubungi polis.

Sementara itu, menurut anak kedua mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, tindakan adiknya itu tidak pernah dijangka.

Katanya, adiknya sering meminta wang daripada ibu mereka untuk membeli dadah.

“Sebelum ini kalau mak marah adik akan melawan dan kemudian terus naik motosikal keluar dari rumah... dan beberapa jam selepas itu dia balik semula ke rumah.

“Adik sudah dua kali keluar pusat pemulihan akibat ketagihan dadah," katanya.

Dia dimaklumkan kejadian menimpa ibu dan adiknya pada jam 7.30 pagi oleh ibu saudara yang tinggal di hadapan rumah ibunya.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan, seorang anak tergamak mengelar leher ibunya selepas berlaku pertengkaran antara mereka, pada pagi Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 6 hingga 7 pagi di mana suspek turut memotong cuping telinga mangsa sebelum bertindak melarikan diri.

“Selepas melakukan perbuatan itu, suspek keluar rumah dengan menaiki motosikal sejauh lebih dua kilometer sebelum bertindak memberhentikan motosikalnya dan meninggalkannya di bahu jalan.

"Suspek kemudian bertindak nekad meluru ke tengah jalan dan maut dilanggar lori,” katanya.