KUALA LUMPUR: Isu perisytiharan harta oleh Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki perlu menjadi perkara utama dalam siasatan yang sedang berjalan ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim menegaskan, terdapat beberapa persoalan berkenaan pemilikan saham oleh Azam yang masih belum terjawab.

"Enam tahun yang lalu telah berlaku perkara ini (pemilikan saham), adakah perisytiharan telah dibuat sama ada sebagai benefisial atau milikan sendiri? Itu juga tidak dapat dijelaskan dalam situasi ketika ini.

"Lantaran itu, kami dalam JKMR mengesyorkan supaya siasatan dilakukan terhadap beliau (Azam), tetapi beliau juga telah menyatakan bersedia untuk disiasat.

"Jadi dalam soal ini, tidak timbul sama ada beliau setuju atau tidak untuk disiasat. Kita dapat terima ini sebagai satu ruang ketelusan untuk beliau memberi penjelasan sebenar sama ada.

"Ia termasuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Jawatankuasa Disiplin dan Pemerolehan Aset Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)

"Namun, soal perisytiharan harta perlu diapungkan sebagai nas dalam mana-mana pemerolehan aset bagi pegawai kerajaan dan lain-lain," katanya pada sidang media di Kompleks Parlimen pada Jumaat.

Ditanya sama ada Azam wajar direhatkan sementara siasatan sedang berjalan, Rais berkata JKMR bersetuju dengan perkara tersebut namaun menyerahkannya kepada SPA.

"Apabila seseorang pegawai disiasat, pegawai itu biasanya digantung kerja, namun terdapat banyak pandangan dalam perkara ini.

"Ada yang menyayakan ia bukan perbuatan jenayah sebaliknya adalah salah laku atau tidak dapat sempurnakan tugas.

"Justeru, apa yang terbaik seiring pandangan kami adalah supaya beliau mengambil cuti rehat sebentar dan membiarkan pihak bertanggungjawab menjalankan tugas.

"Namun, ada juga pihak-pihak yang lebih tinggi (jawatan) sebelum ini disiast, tetapi tak ada cuti.

"Terserah kepada SPA untuk beri cuti atau tidak, tapi harus mengambil natijah amalan yang sedang berlaku melibatkan kes berprofil tinggi dan mereka (individu disiasat) tidak mengambil cuti," katanya.

Justeru, katanya di bawah Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, JKMR bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia.

Beliau sendiri telah berhubung dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan akan bertemu untuk memaklumkan pandangan JKMR selain mendapatkan pandangan Perdana Menteri berhubung isu tersebut.


Integriti | Pengisytiharan harta Azam Baki jadi isu asas