KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah tidak akan berganjak walau seinci malah akan tetap mempertahan kedaulatan negeri itu dalam Malaysia.

Beliau berkata walaupun pernah diuji dengan pelbagai ancaman dan situasi namun semua perkara itu tidak melemahkan semangat serta iltizam rakyat untuk terus mempertahan Negeri Di Bawah Bayu sebagai sebahagian daripada wilayah dalam Persekutuan Malaysia.

"Wajar saya sebutkan di sini sempena Hari Malaysia yang sangat signifikan ini, Sabah akan terus mempertahan kedaulatan negeri ini untuk selama-lamanya. Keputusan muktamad Mahkamah Agung di Belanda, yang menolak rayuan yang difailkan oleh pihak asing baru-baru ini, merupakan berita baik untuk Sabah dan rakyatnya.

"Keputusan muktamad itu sangat penting kepada Sabah kerana ia akhirnya menamatkan tuntutan yang tidak pernah diiktiraf oleh rakyat dan Kerajaan. Penolakan rayuan itu, secara langsung mengukuhkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia yang tidak boleh dipertikai apatah lagi diganggu-gugat oleh mana-mana pihak," katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Padang Merdeka di sini malam ini.

Hajiji turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam mempertahan hak-hak serta kedaulatan Sabah di mahkamah luar negara.

"Di Padang Merdeka inilah pada 16 Sept 1963, lebih enam dekad lalu, Sabah memeterai perjanjian penuh bersejarah, membentuk negara Malaysia.

"Malam ini, kita bersatu hati dalam mengeratkan lagi muafakat dan kata sepakat yang dimeterai 61 tahun lalu oleh pemimpin dan pejuang kemerdekaan tanah air terdahulu. Pada malam ini, kita meraikan kembali detik bersejarah itu, penyatuan dua wilayah di Kepulauan Borneo dengan Semenanjung Tanah Melayu bagi membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan merdeka," katanya.

Beliau berkata dalam konteks Sabah, keputusan kepimpinan negeri yang terdahulu antaranya Tun Mustapha Datu Harun, Tun Mohd Fuad Stephens, Datuk GS Sundang dan Datuk Khoo Siak Chew bukan sahaja bijak dan tepat tetapi juga berani, berprinsip serta berjiwa besar.

"Dengan keputusan itu, Sabah sebuah negeri yang mundur kesan daripada penjajahan, mula memasuki era baharu, mengorak langkah menuju perubahan dan kemajuan dalam semua aspek kehidupan," katanya.

Hajiji berkata pembangunan dan kemajuan negeri serta langkah meningkatkan taraf hidup rakyat adalah dua agenda penting yang menjadi keutamaan kerajaan.

Hajiji berkata walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengisi kemerdekaan dan mempertingkat taraf hidup rakyat khususnya di luar bandar dan pedalaman, sejak lebih enam dekad lalu Sabah telah mengalami perubahan cukup besar dalam pelbagai sektor pembangunan.

Beliau berkata sejak menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia, perubahan demi perubahan terus berlaku meliputi pelbagai sektor ekonomi dan pembangunan khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, sosioekonomi, infrastruktur, pertahanan serta keselamatan.

Hajiji juga berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha memupuk perpaduan melalui nilai budaya dan kaum serta menjadikan ia sebagai imej Sabah yang harmoni, bertoleransi dan saling menghormati.

"Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk yang menjadi kebanggaan kita bersama sejak sekian lama.

"Fenomena kepelbagaian ini lebih terasa serta menyerlah dalam konteks Sabah dan Sarawak," katanya.

-- BERNAMA