SIPITANG: Kerajaan Sabah akan menambah pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada 40 unit untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun depan bagi membantu rakyat yang kurang bernasib baik dan tidak mampu memiliki rumah mereka sendiri.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata penambahan daripada 20 unit setiap DUN setiap tahun akan melibatkan pembinaan kira-kira 3,000 unit rumah seluruh negeri tahun depan yang antara lain membolehkan lebih ramai golongan miskin tegar diberikan bantuan rumah lebih selesa.

"Ini kerana kita tahu ramai lagi yang tiada rumah dan perlu kita bela. Kita akan usahakan 3,000 rumah tahun depan, terutama untuk mereka dalam kategori miskin tegar.

"Kerajaan (negeri) pembangkang sebelum ini tidak melaksanakan inisiatif menjurus kepada membela nasib rakyat kerana lebih tumpukan mencari kesalahan kerajaan dan pemimpin terdahulu," katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin di sini hari ini.

Inisiatif Rumah Mesra SMJ dilancarkan Hajiji pada 28 Sept 2022 bagi memberikan rumah bernilai RM80,000 secara percuma kepada penduduk, terutamanya di luar bandar yang dalam kemiskinan dan memastikan penyediaan rumah mampu milik untuk mereka melibatkan keseluruhan 73 DUN di Sabah.

Hajiji berkata inisiatif itu bersama banyak lagi yang lain termasuk berkaitan pembangunan modal insan hanya berlaku dalam kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - Pakatan Harapan (PH) Plus.

"Pelaksanaan inisiatif untuk manfaat rakyat itu sejajar dengan usaha berterusan kerajaan negeri pimpinannya dalam membela nasib rakyat dan membawa pembangunan di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Hajiji turut menyatakan keyakinannya terhadap potensi Sipitang untuk menjadi sebuah daerah maju berdasarkan kedudukannya yang strategik berhampiran Sarawak, Brunei dan Labuan.

"Rakyat Sipitang juga bakal merasai limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan menerusi pembukaan kilang dan perniagaan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP)," katanya.

-- BERNAMA