Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM13 juta sebagai permulaan dalam membangunkan projek perintis ternakan ikan sangkar di Tuaran, Semporna dan Kunak.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata projek ini merupakan satu program yang sudah dirancang dan termasuk dalam belanjawan tahun lalu iaitu 'Blueprint' Pertanian dan Perikanan Negeri.

"Kerajaan melihat sektor ini menjadi satu sektor yang perlu difokuskan kerana menyedari perikanan juga telah memberi sumbangan kepada hasil negeri sebanyak RM2.8 bilion setiap tahun.

"Program ini mempunyai potensi cukup besar kerana ia bukan sahaja membolehkan nelayan dapat membekalkan ikan untuk pasaran tempatan, bahkan sehingga ke semenajung serta negara-negara luar termasuk Brunei dan China" katanya

Beliau berkata demikian semasa merasmikan pelancaran projek perintis ternakan ikan sangkar Sabah di Dewan Masyarakat Semporna, di sini semalam.

Turut hadir dalam pelancaran tersebut penyandang Menteri Pertanian dan Industri Datuk Junz Wong dan Pegawai Daerah Benedict Asmat.

Mengulas lanjut, katanya kerajaan optimis projek ternakan ikan dalam sangkar boleh menjadi kaedah baharu untuk nelayan menternak ikan secara tersusun dan terancang.

"Selain itu, ia dapat menggalakkan belia yang tidak mempunyai pekerjaan khususnya anak-anak nelayan di luar bandar untuk terus menceburi bidang ini sekali gus mampu keluar daripada kemiskinan" katanya

Shafie berkata, selain peruntukan RM13 juta, kerajaan juga memberikan lesen pendudukan sementara (TOL), bimbingan daripada Jabatan Perikanan Sabah, benih ikan dan pukat.

"Kerajaan turut mewujudkan pusat pemasaran dan pengumpulan produk ikan kerana tiada ertinya kita galakkan anak muda menjalankan projek ini sekiranya tiada tempat untuk menjualnya.

"Semua peserta projek akan dibantu sebaik mungkin sehingga mereka mencapai kejayaan dalam bidang ini kerana kerajaan percaya ia membantu meningkatkan hasil pengeluaran perikanan di negeri Sabah," katanya.

Menurutnya lagi, bagi projek fasa pertama ini, lebih 150 peserta akan dipilih untuk menerima peruntukan tersebut dan lebih ramai belia akan dibantu menerima peruntukan tersebut.

"Buat masa ini kita sudah mengenal pasti daerah-daerah yang mempunyai potensi untuk dibangunkan dalam projek tersebut termasuk di Kuala Penyu, Kudat dan Kota Belud.

"Jabatan Perikanan sedang meneliti secara mendalam kawasan-kawasan tersebut mengikut kesesuaian termasuk daripada aspek kejernihan air untuk membolehkan penternakan ikan bermutu tinggi iaitu jenis ikan kerapu hibrid " katanya.