TUARAN: Kerajaan Sabah akan terus memberi fokus dalam membina projek-projek pembangunan diperlukan rakyat negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Mengambil contoh Tamparuli, Hajiji berkata, walaupun pembangunan di daerah itu dilihat begitu rancak pada masa ini, namun, masih terdapat banyak pembangunan perlu dilaksanakan untuk manfaat penduduknya.

Sehubungan itu, beliau meluluskan lima projek kecil bernilai RM980,000 di Tamparuli termasuk membaik pulih sambungan elektrik di Dewan Tun Hamdan merangkumi pemasangan alat 'transformer'.

"Kita juga akan memastikan semua aktiviti ekonomi dirancakkan semula selepas 1 April ini memandangkan banyak aktiviti tidak dapat dijalankan susulan penularan COVID-19," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Tamparuli di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli; Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap ADUN Kiulu Datuk Joniston Bangkuai; dan Pembantu Menteri Kewangan yang juga ADUN Pantai Dalit Jasnih Daya.

Dalam lawatan kerja itu, Hajiji merasmikan majlis pecah tanah bangunan Mahkamah Anak Negeri Tamparuli yang menelan belanja RM1.5 juta.

Ketua Menteri turut menandatangani plak bagi memperingati pembukaan rasmi trek 800 meter Bukit Perahu, Kampung Ruhiang, yang dinaik taraf dengan pembiayaan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Terdahulu, Hajiji melawat Jambatan Gantung Tamparuli termasuk menyaksikan persembahan Persatuan Seni Budaya Tuaran dan melihat lukisan mural di jambatan, yang merupakan antara destinasi pelancongan ikonik di Sabah.

Hajiji berkata Tamparuli mempunyai banyak potensi pelancongan dengan keistimewaan tersendiri yang boleh menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

Justeru, destinasi-destinasi pelancongan itu perlu dirancakkan selepas ini kerana ia berupaya menjana ekonomi bukan sahaja dalam kalangan pengusaha pelancongan tetapi juga penduduk setempat, katanya.

"Aktiviti pelancongan banyak memberi faedah kepada golongan lain seperti penjual sayur, penjual ikan dan pengusaha pengangkutan. Ini yang kita harapkan agar tempat-tempat pelancongan (di Tamparuli) ini dibangunkan," katanya.

-- BERNAMA