Menurut Setiausaha Agungnya, Muhammad Sha'ani Abdullah, pihaknya menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan agar Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPKK) Kesihatan Parlimen pada Isnin.
"Kami harapkan komitmen negara bila Malaysia menjadi negara pihak dalam konvesnyen rangka kerja kawalan tembakau, merupakan satu komitmen untuk penamat tembakau Tobacco End Game.
"Itu harus menjadi asas kepada sebarang rumusan atau undang-undang akan diluluskan nanti.
"Itu adalah asas, penamat tembakau itu harus menjadi asas.
"Apa pun dibincangkan, kami harapkan keputusan negara tamatkan tabiat merokok pada 2040 menjadi satu sasaran utama dalam meluluskan RUU ini," jelasnya.
Tambahnya, kerajaan perlu memastikan langkah pencegahan yang lebih berkesan dilaksanakan bagi mencapai peruntukan Generasi Penamat (GEG).
Ia termasuk mengenakan denda yang membebankan kepada pelaku dalam mencegah budaya merokok sekaligus menyelamatkan ribuan nyawa muda.
"Dalam Peraturan Kawalan Tembakau denda RM10,000, namun tidak ada orang didenda RM10,000 iaitu denda maksimum satu pencegahan supaya orang takut nak langgar peraturan ini.
"Ia satu unsur pencegahan, tapi banyak masa dan usaha dilencongkan tentang perkara yang tidak utama tetapi nilai denda itu ditetapkan oleh pihak jabatan dan kementerian dan ia berpandu kepada denda sedia ada.
"Maka saya tidak setuju denda tinggi dikatakan membebankan, kalau ia membebankan seseorang yang melanggar undang-undang itu harus tidak melakukan perkara itu," katanya lagi.
Terdahulu, dalam persidangan Dewan Rakyat pada Isnin, Dr Zaliha Mustafa mencadangkan agar Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPKK) Kesihatan Parlimen.
Jelasnya perkara itu berdasarkan Peraturan 54 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat supaya ia dirujuk kepada jawatankuasa itu bagi membuat syor-syor selain meneliti dasar Generasi Penamat (GEG) serta peruntukan berkaitan.
Dr Zaliha menjelaskan rang undang-undang itu adalah yang baharu selepas mengambil kira syor-syor perbincangan JKPK Kesihatan pada tahun 2022 dan pertambahan pindaan baharu terhadap dasar GEG.