KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua minggu depan wajar mendapat sokongan semua Ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam, sekali gus diluluskan tanpa pindaan.

Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpandangan, RUU tersebut amat berkesan menyatupadukan umat Islam di negara ini yang mempunyai kepelbagaian latar belakang berteraskan Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ), di samping meningkatkan keberkesanan perkhidmatan institusi berkenaan.

"Sebab itu saya menyokong penuh pembentangan RUU Mufti di Parlimen bertujuan mengadakan peruntukan bagi perkara berhubung kait dengan mufti, penentuan mengenai hukum dan perkara berkaitan.

"Pada hemat saya, RUU tersebut akan memperkemas tadir urus hal ehwal Islam, terutama pada isu takrifan dan penjelasan ASWJ kepada masyarakat awam khususnya dalam menjamin kedudukan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini," katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Pada 2 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar membentangkan tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat merangkumi RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

RUU Mufti antaranya memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata RUU Mufti juga dilihat dapat memperkukuhkan lagi kedudukan ASWJ berteraskan pegangan al-Asyairah dan al-Maturidiyah yang sudah sekian lama diterima pakai di negara ini.

"Ia amat relevan bahawa seseorang itu layak dilantik sebagai mufti atau timbalan mufti jika dia seorang warganegara Malaysia, ASWJ serta mempunyai kepakaran dalam hukum syarak seperti RUU Mufti," tambah beliau.

Semalam, Jabatan Mufti Selangor turut menyokong penuh RUU Mufti untuk mentakrifkan ASWJ berdasarkan manhaj akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah sebagai punca kuasa kepada Jabatan Mufti Wilayah bagi menambah baik keberkesanan perkhidmatan institusi berkenaan.

Mufti Selangor, Prof Madya Datuk Anhar Opir dalam kenyataan berkata, ia selaras dengan titah Sultan Selangor ketika menjadi Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dizahirkan ketika Mesyuarat MKI Ke-69 yang bersidang pada 6 Mac tahun lalu.

Katanya, titah itu menegaskan institusi Raja-Raja Melayu mewarisi aliran ASWJ dengan berakidah Imam al-Ashari, fiqh bermazhab Imam Shafie dan aliran tasawuf Imam al-Ghazali.