KANOWIT: Sebuah rumah panjang di Skim Penempatan Semula Rascom Nanga Jagau, Ngemah Hulu di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran di Rumah Panjang Tr Unau ak Emol sekitar jam 10.10 malam.

“Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit telah menerima aduan melalui aplikasi WhatsApp daripada Penghulu Juni Masam, ketua masyarakat kawasan Ngemah Hulu mengenai tragedi itu.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang jenis separuh kekal dua tingkat yang mempunyai sebanyak 20 pintu.

“Ia dipercayai bermula sekitar jam 9.10 malam dan merebak dengan cepat."

Bomba memaklumkan kesemua penghuni rumah panjang berjaya menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Difahamkan laluan ke lokasi adalah melalui jalan balak dan mengambil masa perjalanan yang lama.