Empat warga emas yang terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita mengalami sesak nafas dalam kebakaran empat buah rumah di Flat Mawar, Jalan Loke Yew, di sini.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 3.44 petang Khamis.

Sebanyak 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan Pudu digerakkan ke lokasi kejadian diketuai Komander Operasi Kanan Muhammad Ridhwan Kamarulzaman.

Muhammad Ridhwan berkata, setibanya anggota di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah di tingkat empat dan sebuah rumah di tingkat lima.

"Sebuah rumah di tingkat empat terbakar 100 peratus manakala dua buah rumah lagi masing-masing 30 peratus. Rumah yang berada di tingkat lima pula mengalami kebakaran 40 peratus.

"Terdapat empat orang mangsa warga emas mengalami sesak nafas iaitu tiga wanita dan seorang lelaki

" Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras," katanya dalam satu kenyataan.




Mengulas lanjut, Muhammad Ridhwan berkata, api berjaya dikawal pada pukul 4.14 petang dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.01 petang.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.