SIBU: Rumah pusaka milik keluarga penyampai radio SIBUFM Iskandar Joni antara 15 rumah jenis tidak kekal yang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Hilir di sini malam tadi.

"Assalamualaikum kepada semua rumah 'kamek' hangus," kata Iskandar sambil mengelap air mata dalam video pendek yang dihantar kepada rakan media.

Rakan beliau yang juga wartawan penyiaran RTM Magdelina Jawai berkata rumah tersebut yang memiliki ciri-ciri klasik dan sering dijadikan lokasi penggambaran program sempena hari raya, amat disayangi dan dibanggakan Iskandar.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata kejadian dilaporkan kepada pihak bomba pada 6.43 petang semalam.

Beliau berkata susulan itu, 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral, BBP Sungai Merah dan BBP Sibu Jaya telah digerakkan ke lokasi.

"Jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat adalah 150 orang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kebakaran berjaya dikawal pada 7.57 malam," katanya.

Foto Astro AWANI

Beliau berkata berkata punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih disiasat.

Sementara itu, semua mangsa yang terlibat kini ditempatkan di Surau Darul Ma'wa Kampung Baharu dan ada juga yang menumpang di rumah saudara mara.

Mereka turut menerima bantuan awal daripada Tabung Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sibu.

Foto Astro AWANI

-- BERNAMA