Kontroversi mengenai pengguguran ruang ‘kaum’ dalam borang rasmi kerajaan menjadi topik bualan hangat di kalangan rakyat Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata semasa sidang media pada Rabu bahawa Kabinet telah memutuskan ruang kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tiada nilai tambah digugurkan.

Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Khamis menjelaskan pihak kerajaan tidak membuat sebarang keputusan untuk memansuhkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan dan seterusnya menyaksikan permohonan maaf dibuat oleh Entulu pada Khamis.

Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali mahu menyaman kerajaan sekiranya kerajaan mengugurkan ruangan 'kaum' dimana ini telah menyebabkan Ketua Pemuda GERAKAN, Tan Keng Liang mencabar Ibrahim Ali untuk menunjukkan peruntukan manakah dalam Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan kerajaan memasukkan ruang 'kaum' dalam borang rasmi kerajaan.

Dalam kehangatan kontroversi ini, Astro AWANI telah menemubual beberapa warga tempatan bagi mendengar sendiri pendapat mereka mengenai perkara ini. Ada yang bersetuju untuk pemansuhan ini dilakukan tetapi ada yang berfikiran penggunaan ruangan ‘kaum’ ini adalah penting. Berikut merupakan antara pendapat yang mereka kongsikan.