GERIK: RASA dingin membuatkan penulis terjaga dari tidur dan segera merapati tingkap kaca rumah bot Casuarina, mengintai suasana hening pagi Tasik Temenggor, tasik buatan manusia yang siap dibina pada tahun 1974.
Tasik Temenggor adalah tasik kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Tasik Kenyir (Terengganu) dan terletak di Taman Negeri Royal Belum, iaitu salah satu hutan hujan tertua di dunia, dipercayai wujud lebih dari 130 juta tahun.
Pagi itu kabus tebal, air tasik yang tenang, panorama hutan menghijau dan sesekali kedengaran merdu bunyi unggas, membuatkan bukan sahaja penulis tetapi rakan media serta 'blogger' yang bertamu di rumah bot itu begitu teruja, menikmati keindahan alam.
Kunjungan sehari semalam ke Tasik Temenggor dan Royal Belum iaitu antara 12 ikon pelancongan negeri Perak Darul Ridzuan, diatur agensi pelancongan Gaya Travel Magazine dengan kerjasama Tourism Perak.
Dengan keluasan 117,500 hektar, Royal Belum yang pernah disenarai sebagai 'kawasan hitam' kerana hutannya menjadi lubuk aktiviti pengganas komunis pada tahun 1948, menyimpan pelbagai khazanah biologi alam.
Dianggarkan terdapat lebih 3,000 spesies flora, 64 spesies paku-pakis, 23 jenis ikan sungai selain turut mempunyai bunga terbesar di dunia, Rafflesia atau pakma yang tumbuh subur di Royal Belum.
PERKAMPUNGAN ENGGANG
Uniknya juga Royal Belum ialah kawasan hutan yang bersempadan dengan Thailand di bahagian utara dan Kelantan di timur ini turut menjadi "kampung" pelbagai spesies burung enggang atau kenyalang yang amat sinonim dengan negeri Sarawak.
Burung yang mempunyai paruh berbentuk tanduk lembu itu adalah satu daripada burung terbesar di hutan tropika Asia Tenggara dan Royal Belum diiktiraf memiliki bilangan spesies tertinggi bagi satu-satu kawasan di Asia dengan kehadiran kira-kira 10 jenis yang pernah direkodkan di kawasan berkenaan.
Antara spesies tersebut adalah Wrinkled, Whreathed, Great dan Rhioceros selain Enggang Tebang Mentua (Helmeted Hornbills) yang dikategorikan sebagai sangat terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharan Alam Sekitar (IUCN) turut pernah direkodkan dilihat di situ.
Maka tidak hairanlah hutan belantara yang kaya dengan kepelbagaian biologi ini turut menjadi tapak persinggahan burung Enggang Hutan (Rhyticeros subruficollos) dari Thailand semasa musim buah serta pernah merekodkan penghijrahan terbesar spesies itu di dunia selain turut menjadi flyway site bagi burung migrasi.
Kepelbagaian khazanah Royal Belum menjadikannya tumpuan bukan sahaja bagi pencinta alam semula jadi tetapi juga peminat burung dari serata dunia apabila tibanya musim migrasi, sepanjang bulan Mei hingga September setiap tahun, bagi menyaksikan ratusan burung ini bebas berterbangan di seluruh kawasan Tasik Temenggor dan hutan simpan ini.
Perkara ini dikongsikan oleh pemilik rumah bot, Mohd Azman Mat Isa, 53, yang turut memberitahu Bernama, kebiasannya ramai dalam kalangan mereka tidak melepaskan peluang mengambil gambar burung berkenaan untuk dijadikan koleksi simpanan.
"Pelancong yang datang biasanya membawa pelbagai jenis kamera dan lensa untuk merakam burung hijrah yang singgah di sini dan kamipun gembira dapat tunjukkan kekayaan dan keindahan hutan milik negara kita," katanya yang sudah 20 tahun mengusahakan perkhidmatan rumah bot.
Kawasan hutan hujan tropika ini yang diwartakan sebagai kawasan yang dilindungi dan diuruskan Perbadanan Taman Negeri Perak pernah mencatatkan rekod pengunjung tertinggi kira-kira 30,000 orang pada tahun 2019.
KEDUA TERTINGGI DI ASIA
Kekayaan spesies burung enggang yang terdapat di Kompleks Hutan Belum-Temenggor ini adalah lebih tinggi berbanding di kepulauan Borneo, Sabah dan Sarawak yang hanya mempunyai lapan spesies sahaja, kata pegawai kanan konservasi dan pengurus projek Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Yeap Chin Aik. (SUB: HE)
Namun begitu, beliau menambah, Sarawak lebih sinonim dengan burung berkenaan kerana ia banyak berkait dengan kebudayaan masyarakat asalnya, berbanding Orang Asli di Semenanjung kerana itu tidak ramai menyedari bahawa Semenanjung yang sebenarnya memiliki lebih banyak spesies enggang.
"Secara keseluruhannya terdapat 57 spesies enggang di dunia dengan Asia merekodkan 32 spesies. Thailand dan Indonesia adalah negara yang paling banyak mempunyai spesies Enggang iaitu 13 spesies manakala Malaysia merekodkan 10 spesies yang boleh dilihat di Royal Belum dan Ulu Muda, Kedah.
"Dengan jumlah 10 daripada 32 spesies yang terdapat di negara kita bermakna, Malaysia sudah menyokong satu pertiga daripada kepelbagaian spesies burung enggang di Asia dan ini yang unik dan istimewanya sehingga menjadi tumpuan peminat burung," katanya.
Kaedah memerhati burung di Royal Belum juga berbeza dengan kawasan lain seperti di Sarawak memandangkan di sini di kelilingi tasik yang membolehkan pencinta burung merakam gelagat unggas tersebut dengan hanya berada di atas bot sahaja.
Gelagat enggang boleh dilihat dengan jelas pada waktu pagi dan senja ketika bertenggek di kanopi pokok untuk mencari makan pada waktu tersebut dengan menggunakan peralatan khusus mencerap burung.
Hakikatnya, bukan itu sahaja keistimewaan yang ada di Royal Belum. Sepertimana namanya yang gah itu, perkampungan orang Asli, suku Jahai juga adalah antara tarikan lain yang boleh diterokai di hutan simpan ini untuk melihat sendiri dan mengenali dengan lebih dekat budaya masyarakat orang asal puak Negrito.
Memiliki kulit yang gelap, berambut kerinting dan mempunyai ciri muka Asiatik, penulis yang pertama kali melihat masyarakat itu tidak menafikan bagaikan terpukau dengan keunikan budaya masyarakat ini yang sebelumnya hanya dapat ditonton di kaca televisyen sahaja.
Apatah lagi, dengan sikap ramah melayan pengunjung yang singgah di perkampungan mereka membuatkan penulis tidak berasa kekok malah mengambil peluang untuk mengetahui lebih lanjut lagi 'rahsia alam' di hutan tertua ini.
PERKAMPUNGAN SUKU JAHAI
Menurut Tok Batin Kampung Sungai Tiang Zamberi Lebis, penempatan di tepi sungai yang menjadi nadi kehidupan buat masyarakat peribumi ini menjadi kediaman kira-kira 105 penduduk daripada 45 buah keluarga,
"Suku Jahai adalah penduduk asal di sini dan kebanyakannya menyara hidup dengan menjadi nelayan darat selain melakukan aktiviti pertanian, berburu, menjual ubatan herba, produk kraf dan aktiviti persembahan seperti tarian siwak sebagai tarikan kepada pelancong.
"Saya berharap lebih ramai lagi pelancong akan datang ke kampung ini seterusnya dapat membantu kami menjana pendapatan tambahan," katanya yang turut menambah, penduduk di situ ada yang beragama Islam, Kristian di samping ada yang masih mengamalkan kepercayaan animisme.
Setelah hampir lewat tengah hari berada di perkampungan Orang Asli itu, kami dibawa pulang ke rumah bot untuk aktiviti santai. Badan yang terasa agak melekit bermandi peluh kembali segar apabila kami dapat mandi-manda di Tasik Temenggur di samping menaiki rakit buluh.
Kunjungan ke Royal Belum tidak akan lengkap jika tidak ke air terjun Sungai Ruok yang terkenal dengan santuari ikan kelah.
Udara segar serta air sungai yang jernih menjadi tambah menarik apabila dapat bermandi-manda bersama pelbagai jenis ikan termasuklah ikan kelah yang agak jinak dengan pelbagai saiz.
"Perjalanan menaiki bot dari jeti Tasik Banding ke air terjun Sungai Ruok lebih kurang dua jam dan selepas itu perlu mendaki sedikit melalui trek yang ada sebelum sampai ke sini. Apabila sampai, pengunjung berpeluang mandi-manda dan memberi makan kepada ikan kelah.
"Tetapi, kawasan ini dilarang memancing dan dikawal ketat Perbadanan Taman Negeri Perak yang turut memasang beberapa kamera litar tertutup. Sekiranya terdapat sebarang aktiviti menangkap ikan, individu itu akan ditangkap pihak berkuasa," kata pemandu bot Afzainizam Lepen, 18, yang membawa kami ke Air Terjun Sungai Ruok.
PENGALAMAN BERHARGA
Buat masa ini, trend pelancong yang datang ke Royal Belum adalah daripada kalangan mereka yang sukakan percutian alam semula jadi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majalah Gaya Travel Mohd Nor Mohd Diah, melalui kajian pelancongan domestik 2022, menunjukkan Perak berada di tangga keempat dengan 14.6 juta pelancong.
Sementara itu, bagi Ummi Najjiah Mohd Sazali, 29, dia tidak pernah menjangkakan percutian ke hutan rimba itu memberikannya pengalaman berharga apabila berpeluang melihat gelagat gajah liar di tepi Tasik Temenggor semasa melakukan aktiviti memancing di sekitar kawasan berkenaan.
"Mungkin bagi sesetengah orang akan kata boleh tengok gajah di zoo tetapi ini adalah pengalaman berbeza kerana yang saya nampak gajah liar. Pertama kali terlihat, hampir satu bot menjertit gajah, gajah dan menariknya pemandu bot membawa kami untuk melihat lebih dekat lagi.
"Tetapi, kami dinasihatkan supaya senyap dan tidak mengeluarkan sebarang bunyi sekiranya ingin melihat gajah dari jarak dekat. Kata pemandu bot ini rezeki kami kerana mereka juga sudah lama tidak melihat gajah di tepi tasik kerana kebiasaannya hanya di jalan raya," kata Ummi Najjiah, penulis media sosial ini.
Di wajahnya jelas terpancar keceriaan kerana banyak pengalaman mengujakan dalam kunjungan ke Royal Belum dan Tasik Temenggur.
Benarlah keindahan panorama dan kepelbagaian biologi di Royal Belum begitu berharga sehingga ia dikenali sebagai antara 'permata hati' negeri Perak.
Justeru, kelestarian alam di sini perlu dipelihara dan dipertahankan dengan kerjasama dan komitmen semua pihak termasuk generasi muda agar kekal untuk diwarisi generasi seterusnya.
-- BERNAMA / NUR AFIRADINA BINTI ARSHAD
Bernama
Mon Nov 06 2023
Hutan belantara bersejarah ini menyimpan pelbagai khazanah flora dan fauna yang menjadikannya istimewa di mata dunia. - Gambar hiasan/Bernama
[TERKINI] Perkembangan terkini kemalangan tiga kenderaan
Lintas langsung di lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan hingga dipercayai mengakibatkan sekurang-kurangnya enam terkorban berhampiran RnR Ayer Keroh.
TikTok mungkin dibenarkan beroperasi seketika - Kata Trump
Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad memberi bayangan beliau mungkin membenarkan TikTok meneruskan operasi di negara itu.
Malaysia, Bahrain sempena 50 tahun hubungan diplomatik
Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, Malaysia dan Bahrain mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dua hala merentasi pelbagai sektor, bertujuan untuk memupuk masa depan yang lebih makmur dan berdaya tahan.
Lelaki bakar penumpang tren bawah tanah hingga maut ditahan
Polis New York City menahan seorang lelaki pada Ahad kerana membakar seorang penumpang wanita kereta api bawah tanah hingga maut.
Tahanan Guantanamo: Pemulihan fokus aspek psikologi, hubungan kekeluargaan
Aspek psikologi perlu diuruskan terlebih dahulu kerana individu yang menyertai kumpulan pengganas kebiasaannya adalah mereka yang menanggung emosi yang berat serta berpandangan radikal.
Rating penerimaan PM Anwar meningkat kepada 54 % tahun kedua
Rating kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkat kepada 54 peratus dalam kalangan pengundi Malaysia pada tahun kedua pentadbiran Kerajaan MADANI, berbanding 50 peratus tahun lepas, menurut kaji selidik Merdeka Center.
[TERKINI] Sekurang-kurangnya enam maut, tiga kenderaan bertembung berhampiran RnR Ayer Keroh
Sekurang-kurangnya enam maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam Isnin.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 23 Disember 2024.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Konsert Maliq & D'Essentials ditunda
Kumpulan itu berjanji untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat sebaik tarikh baharu dapat ditetapkan.
Gajah liar berjaya dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum
Gajah jantan berusia 16 tahun itu dikesan pada Rabu lalu dan ditangkap pada keesokkan harinya sebelum dibawa ke hutan simpan pada Sabtu.
Belanjawan 2019: Usaha lestari alam sekitar perlu ditangani secara serius
Tumpuan kerajaan untuk memastikan Taman Hutan Selangor FRIM dan Taman Negeri Royal Belum disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO adalah tepat pada masanya.
Wabak malaria di Pos Kemar, aktiviti pemantauan diteruskan
Mereka didapati mempunyai simptom demam panas, menggigil dan cirit birit sejak dua minggu lalu.