Permaisuri Bahrain, Sabeeka Ibrahim Al-Khalifa menerima menghadap Datin Seri Rosmah Mansor di sini, pada Sabtu.

Isteri Perdana Menteri menghadap baginda semasa lawatan beliau ke Kompleks Majlis Tertinggi Wanita.

Rosmah, yang mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam lawatan rasmi ke Bahrain, kemudian diberi taklimat tentang kemajuan wanita di negara Teluk ini.

Permaisuri Sabeeka yang menyambut ketibaan Rosmah ke kompleks itu, kemudian mengiringi isteri Perdana Menteri melawat kompleks berkenaan yang ditubuhkan bagi memperkasakan pencapaian wanita.

Semasa menerima menghadap, Permaisuri Sabeeka bertitah baginda amat kagum dengan dasar mesra wanita yang dilaksanakan Malaysia.

Dalam taklimatnya, seorang pegawai majlis itu berkata 37 peratus wanita di Bahrain terlibat dalam proses penggubalan dasar negara, dan 61 peratus wanita Bahrain berpendidikan tinggi.

- BERNAMA