KUALA NERUS: Ternyata usia bukan penghalang bagi Christine Longuet atau Rohani Abdullah apabila berjaya menamatkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Anak kelahiran Paris, Perancis berusia 81 tahun itu berkata beliau menghabiskan masa 10 tahun untuk menyiapkan tesis bertajuk "Tempat, Tumbuhan dan Masyarakat di Terengganu: Penilaian Berdasarkan Dua Era".

"Saya memulakan penulisan tesis pada 2013. Kajian yang melibatkan dua era ini secara tidak langsung memerlukan perbandingan yang sistematik serta masa yang panjang.

"Ada masa saya hampir berputus asa, tetapi saya bersyukur kerana adanya sokongan padu daripada arwah suami Allahyarham Wan Othman Wan Abdullah dan anak, penyelia muda yang berpengalaman, di samping bantuan daripada pihak pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sendiri," katanya.

Rohani yang menggenggam PhD dalam bidang etnobotani atau ekologi manusia itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UMT Ke-22 di sini hari ini.

Beliau berkata pelbagai cabaran dihadapi dalam menyiapkan tesis berkenaan termasuk faktor kesihatan, masalah keluarga, persekitaran dan COVID-19.

Rohani yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sejarah dari Sorbonne University, Perancis berkata beliau juga berhasrat menulis buku biografi mengenai dirinya untuk tatapan serta warisan keluarga dan bercadang menerbitkan dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Perancis.

"Saya mahu anak cucu tahu dari mana mereka datang. Tidak hanya sejarah, saya juga ingin berkongsi ilmu yang saya ada dalam buku itu untuk manfaat masyarakat.

"Saya telah menulis beberapa buku sebelum ini antaranya Amabah An Architect's Journey (2013) dan The Visible Trail of Chang Fee Ming (2000)," katanya yang turut mempunyai Ijazah Sarjana dalam bidang Seni Bina dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2006.

Berkongsi kisahnya, Rohani berkata beliau datang ke Terengganu pada 1971 untuk menempah kapal layar dan mengembara ke lautan Pasifik.

Bagaimanapun, wanita kepada lapan anak, 27 cucu dan 14 cicit itu akhirnya memutuskan untuk menetap di bumi Darul Iman pada 1975 setelah jatuh hati dengan industri kapal layar, budaya tempatan serta seni bina Melayu yang menarik.

"Pada 1982 saya membuat kajian mengenai perubatan tradisional Terengganu untuk beberapa firma dan institut di Perancis.

"Antara artikel yang telah saya hasilkan bertajuk Kulit Manis: A Taste of Terengganu's Heritage, Menelusuri Jati Diri; Chapter Perahu Pinis: Peranan Tukang Dalam Penciptaan Kapal Layar di Terengganu dan Malaysie Contemporaine, La disparition de habita traditional dans le Trengganu," katanya.

-- BERNAMA